Jalaluddin Seru Kerajaan Teliti Cadangan Akta Perlindungan Guru
KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berharap kerajaan meneliti cadangan penubuhan Akta Perlindungan Guru Malaysia yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata cadangan akta ini bukan bertujuan untuk memberi kekebalan mutlak kepada guru, tetapi memberikan perlindungan perundangan yang jelas dan adil supaya guru dapat menjalankan tugas professional.
“Dalam PAU 2025, Presiden UMNO telah mengemukakan usul dan dipersetujui oleh semua perwakilan untuk mewujudkan satu Akta Perlindungan Guru Malaysia.
“Guru merupakan tunjang kepada pembinaan modal insan negara. Namun realitinya, semakin ramai guru berdepan tekanan bukan sahaja dari segi beban tugas, tetapi juga risiko tindakan undang-undang, termasuk ancaman letter of demand, hanya kerana mereka melaksanakan tanggungjawab mendidik dan mendisiplinkan pelajar.
“Melalui akta ini guru dapat menjalankan tugas profesional mereka tanpa rasa takut, selagi tindakan tersebut mematuhi garis panduan dan etika yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Tanpa perlindungan undang-undang yang sewajarnya, kita berisiko mewujudkan budaya ketakutan dalam kalangan pendidik, yang akhirnya akan menjejaskan disiplin sekolah dan kualiti pendidikan itu sendiri.
“Saya berharap Kerajaan mempertimbangkan cadangan yang dibawa oleh UMNO supaya Akta Perlindungan Guru diwujudkan secara menyeluruh, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, demi memartabatkan profesion perguruan dan ekosistem pendidikan,” katanya.
Jalaluddin berkata demikian ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu beliau turut sama mengulas berkenaan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2027 khususnya membabitkan kemasukan anak-anak berusia enam tahun ke darjah satu bermula tahun tahun hadapan.
Katanya meskipun mendapat reaksi pelbagai namun terdapat dua isu utama yang menjadi keprihatinan rakyat, iaitu kesiapsediaan guru dan kemampuan fasiliti sekolah serta isu penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
“YB Menteri telah menjelaskan bahawa kemasukan pelajar berusia enam tahun ke tahun satu adalah bersifat pilihan dan akan ada tapisan yang dibuat. Dengan andaian hanya 50 peratus sahaja pelajar enam tahun yang memasuki tahun satu pada 2027, secara kasarnya ianya adalah pertambahan sebanyak 200 ribu orang pelajar lagi.
“Dengan angka 400 ribu pelajar setahun pon kita sudah menghadapi masalah, cuba bayangkan apa yang berlaku dengan kemasukan anggaran kasar 600 ribu pelajar tahun satu pada tahun 2027? Adakah fasiliti sekolah terutamanya di kawasan bandar mencukupi? Adakah guru-guru sudah bersedia untuk menghadapi tambahan pelajar-pelajar ini?
“Ianya sesuatu yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh pihak Kementerian. Dasar yang baik kadangkala perlukan masa untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
