Arena Baharu Dataran KAF Jadi Nadi Komuniti FELDA Trolak Timur – Salina
BEHRANG, 26 Jan – Pembukaan Arena di Dataran KAF, FELDA Trolak Timur bukan sekadar penambahan kemudahan fizikal, sebaliknya menjadi simbol penyatuan komuniti dan pemangkin peluang ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, berkata arena berkenaan membawa makna tersendiri buat beliau kerana latar belakangnya sebagai anak FELDA yang membesar dengan nilai kebersamaan dan semangat hidup bermasyarakat.

“Tempat ini buat saya rasa sangat dekat di hati. Saya juga anak FELDA. Dari sinilah kita belajar erti hidup bermasyarakat, berkongsi ruang dan masa. Arena ini bukan sekadar bangunan, tapi ruang untuk kita terus hidupkan semangat komuniti,” katanya ketika merasmikan arena tersebut di Dataran KAF, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, atas peruntukan RM150,000 yang disalurkan bagi pembinaan kemudahan itu, yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan rakyat.
“Peruntukan ini bukan hanya membina struktur, tetapi membina peluang. Ia memberi ruang lebih selesa kepada peniaga dan menjadi tempat masyarakat berkumpul tanpa perlu mencari lokasi lain,” ujar beliau.
Beliau memaklumkan, sebelum ini, kawasan KAF di bawah kepimpinan mantan ADUN Behrang telah menerima 10 kiosk Amanjaya bagi membantu anak muda memulakan perniagaan.

Menurut Salina, kemudahan yang lebih teratur diyakini mampu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan serta menarik lebih ramai pengunjung.
“Dulu berniaga bawah khemah, sekarang ada arena yang lebih selesa untuk peniaga dan juga pelanggan. Insya-Allah, bila suasana lebih tersusun dan kondusif, pendapatan peniaga pun boleh meningkat.
Beliau juga berharap agar Arena Dataran KAF Menjadi pusat aktiviti belia dan lokasi penganjuran program komuniti, sekali gus mengukuhkan hubungan sesama penduduk FELDA Trolak Timur.
“Kalau benda baik kita jaga sama-sama, lama-lama ia jadi kebanggaan. FELDA Trolak Timur ini rumah kita. Kita jaga elok-elok, kita hidupkan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online
