Musyawarah Nasional Langkah Tepat Perkasa Agenda Melayu – Rozabil
KUALA LUMPUR, 24 Jan – UMNO Perlis menyifatkan Musyawarah Nasional sebagai satu langkah tepat, berani dan berpandangan jauh dalam usaha memperkasa serta membina semula kekuatan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Rozabil Abdul Rahman, berkata keputusan berkenaan yang dibuat menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2025 jelas membuktikan kesungguhan parti dalam meneruskan perjuangan berasaskan prinsip asal membela agama, bangsa dan negara.
rrMenurut beliau, UMNO sentiasa terbuka dan matang dalam mengurus cabaran semasa politik, dan penubuhan Musyawarah Nasional menjadi wadah terbaik untuk memperkukuh penyatuan serta mencari titik persamaan demi kepentingan ummah secara keseluruhan.
“Sepertimana yang ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penubuhan Musyawarah Nasional ini adalah medan untuk mengurus dan menyelaras agenda politik Melayu secara menyeluruh. Ia bukan sahaja menyentuh kedudukan agama Islam, malah turut membincangkan soal ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak bangsa,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menambah, inisiatif ini juga membuktikan bahawa UMNO kekal konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu tanpa menafikan kepelbagaian serta keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“UMNO tidak pernah menyimpang daripada landasan perjuangan asalnya. Walau apa jua cabaran dan persepsi yang dilemparkan, kita tetap teguh berpegang kepada asas perjuangan. Apa yang penting ialah kesatuan hati dan tekad untuk terus membawa suara orang Melayu agar tidak lagi dipinggirkan,” ujarnya.
Rozabil turut menyeru seluruh jentera dan ahli parti di semua peringkat supaya melihat penubuhan Musyawarah Nasional ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk memperkukuh saf perjuangan serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara pelbagai entiti Melayu dan Islam di seluruh negara.
“Inilah masa untuk kita bersatu, memperbetulkan persepsi dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan utama orang Melayu. Kita sama-sama berdoa agar segala usaha ini dipermudahkan dan diberkati,” katanya lagi.
Beliau turut yakin, dengan bimbingan dan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi parti, Musyawarah Nasional akan menjadi platform penting yang mampu menyatukan pelbagai pandangan serta mencorakkan hala tuju baharu perjuangan bangsa dalam menghadapi cabaran politik semasa dan masa depan.
Pada PAU 2005 yang lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa manakala bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman pula dilantik sebagai pengerusi Musyawarah Nasional. – UMNO Online
