Malaysia Sedia Hulur Bantuan Kepada Negara ASEAN Dilanda Bencana – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada negara anggota ASEAN yang dilanda bencana, termasuk menyokong misi bantuan kemanusiaan secara bersama ke luar rantau mengikut keperluan dan kemampuan negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen itu mencerminkan kesediaan Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi bencana serta mempercepatkan penyaluran bantuan kepada negara yang terjejas.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Menurutnya, kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dilaksanakan sebelum sesuatu kejadian berlaku, khususnya dengan memastikan setiap amaran awal disusuli tindakan yang jelas dan berkesan.

“Setiap amaran awal mesti disusuli dengan tindakan yang jelas supaya agensi, pihak berkuasa dan komuniti tahu bila pemindahan perlu dimulakan serta bantuan dapat digerakkan dengan segera,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia turut memperkukuh usaha pengurangan risiko bencana menerusi pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Katanya, pendekatan itu mengambil kira risiko serta keperluan setempat dalam perancangan pembangunan, selain memastikan perlindungan terhadap perkhidmatan asas terus diberi perhatian.

Dalam pada itu, Malaysia turut menyokong pengukuhan kerjasama AMMDM Plus bersama rakan dialog iaitu Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand.

Kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Program Kerja ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) 2026-2030.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama berterusan itu penting bagi memastikan ASEAN mempunyai keupayaan lebih kukuh dan tersusun dalam menangani bencana, sekali gus melindungi keselamatan serta kesejahteraan rakyat di rantau ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO