Kebajikan Anggota ATM, Veteran Perlu Terus Dibela – Adnan

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran perlu terus diberikan perhatian melalui pembelaan yang nyata, termasuk penambahbaikan elaun, penyelarasan pencen serta kemudahan perumahan.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, pengorbanan anggota ATM yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan negara tidak seharusnya hanya dihargai melalui ucapan penghargaan, sebaliknya perlu disusuli pembelaan kebajikan yang sewajarnya.

“Mereka yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan negara tidak boleh dibiarkan berdepan ketidakpastian dalam soal kebajikan. Pengorbanan anggota ATM dan veteran mesti dihargai melalui pembelaan yang nyata, bukan sekadar ucapan penghargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan.

Dalam perbahasan itu, beliau turut meminta kementerian memastikan struktur elaun anggota yang masih berkhidmat disemak berdasarkan tanggungjawab, risiko operasi dan tuntutan tugas.

Menyentuh kebajikan veteran, Adnan berpandangan pengiktirafan melalui Pingat Jasa Malaysia (PJM) perlu disusuli perhatian kebajikan yang lebih bermakna dan signifikan, termasuk kemungkinan menyediakan bantuan lebih berterusan kepada penerima yang memerlukan.

Beliau turut merayu agar kerajaan meneliti semula isu penyelarasan pencen veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

“Kuala Pilah merayu agar Kementerian meneliti semula pendirian Kerajaan dan mempertimbangkan cadangan Majlis Angkatan Tentera bagi membolehkan penyelarasan pencen dilaksanakan melalui penyelesaian dasar yang bersesuaian,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan isu penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), khususnya kuarters sedia ada yang telah uzur dan memerlukan pembaikan.

Dalam aspek pertahanan siber, beliau menyambut baik pembangunan Tim Nukleus Angkatan Siber sebagai langkah awal ke arah pembentukan cabang perkhidmatan keempat ATM, namun menegaskan usaha itu perlu disokong dengan pelaburan teknologi, infrastruktur, tenaga pakar dan latihan khusus.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa pasukan simpanan ATM, termasuk menyediakan laluan penempatan lebih tersusun kepada graduan PALAPES serta meningkatkan latihan, insentif dan kemudahan anggota.

Dalam masa sama, Adnan menegaskan perolehan pertahanan negara perlu turut menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan dan peningkatan kepakaran industri.

“Matlamatnya bukan sekadar memenuhi syarat kontrak perolehan, tetapi membina keupayaan industri tempatan supaya negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran dan teknologi luar dalam jangka panjang,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO