‘Bila Tak Pegang Jawatan, Baru Bising’ – Mohd Noor Helmy
MELAKA, 25 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyifatkan kritikan terhadap pelantikan Timbalan Exco Melaka sebagai sesuatu yang tidak menghairankan, sebaliknya mempersoalkan sikap pihak yang hanya membangkitkan isu berkenaan selepas tidak lagi memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka yang menyifatkan jumlah anggota Exco serta Timbalan Exco terlalu ramai bagi sebuah negeri kecil seperti Melaka.
Menurut Mohd Noor Helmy, pelantikan Timbalan Exco merupakan pendekatan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam memperkukuh sistem pentadbiran kerajaan negeri, selain mengoptimumkan penglibatan wakil rakyat dalam urusan pentadbiran.

“Yang jadi peliknya bila masa orang ko pegang jawatan tu, ko takde bunyi, bila dah tak pegang, baru bunyi berlagu-lagu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kewujudan jawatan Timbalan Exco bukan sekadar menambah bilangan jawatan, sebaliknya menyediakan tenaga tambahan bagi membantu kelancaran pentadbiran, khususnya dalam menguruskan tanggungjawab portfolio kerajaan negeri.
Katanya, tanpa jawatan berkenaan, peranan wakil rakyat mungkin lebih tertumpu kepada urusan kawasan masing-masing, termasuk menziarahi penduduk dan menyelesaikan aduan masyarakat.
“Dengan adanya jawatan Timbalan Exco ni, lebih ramai wakil rakyat terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Ada tenaga tambahan dalam sistem pentadbiran dan ada wakil kalau Exco tak terkejar kerja,” katanya.
Mengulas dakwaan beliau mempertahankan pelantikan itu kerana turut mendapat manfaat daripadanya, Mohd Noor Helmy secara berseloroh mengakui kedudukannya sebagai Timbalan Exco juga menjadikan dirinya sebahagian daripada pihak yang terlibat.
“Mat back up? Memanglah back up sebab Mat pun Timbalan Exco ler,” katanya.
Untuk rekod, Mohd Noor Helmy dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri (Tugas-tugas Khas).
Beliau menegaskan pendekatan berkenaan merupakan cara pentadbiran di bawah kepimpinan Ab Rauf dalam menyusun gerak kerja kerajaan negeri dan memperluas penglibatan wakil rakyat dalam tanggungjawab pentadbiran. – UMNO Online
