Rumah Bangsa Satukan Jiwa Bukan Pemecah – Izwan Kamar

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Gagasan Rumah Bangsa bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan dan kekuatan perjuangan UMNO.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri berkata, sejak awal penubuhannya UMNO bukan hanya berperanan sebagai sebuah parti politik, tetapi merupakan wadah penyatuan orang Melayu dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya, semangat penyatuan itu perlu terus diperkasakan menerusi gagasan Rumah Bangsa yang menuntut keutamaan diberikan kepada kepentingan agama, bangsa dan negara, mengatasi kepentingan peribadi mahupun perbezaan lama yang pernah wujud.

“Penyatuan Rumah Bangsa hanya boleh dicapai apabila kepentingan agama, bangsa dan negara diletakkan utama mengatasi kepentingan peribadi atau perbezaan lama, serta kita bergerak ke hadapan dengan sikap saling menghormati dan bertanggungjawab.

“Sebagai parti keramat orang Melayu, UMNO sentiasa menjadi ruang yang menyatukan, bukan memecah-belahkan. Konsep ini membuka ruang untuk kita kembali kepada asas perpaduan dengan jiwa besar dan politik yang matang.

“Rumah Bangsa bukan sekadar simbol atau retorik politik, sebaliknya merupakan satu pendekatan menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan akar umbi serta membuka ruang seluas-luasnya kepada semua perjuangan UMNO untuk kembali bersama dalam satu saf yang kukuh,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama kata Izwan Kamar melihat tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia , Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai Exco negeri Melaka baru-baru ini merupakan satu keputusan berprinsip, berani serta mencerminkan watak seorang pejuang yang mendahulukan nilai dan keutamaan perjuangan.

“Keputusan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka sebagai satu keputusan berprinsip, berani dan mencerminkan watak seorang pejuang. Ia bukannya sebagai protes, tetapi satu keputusan peribadi berlandaskan prinsip dan keutamaan perjuangan.

“Peletakkan beliau wajar dihormati, dan tidak seharusnya ditafsirkan secara negatif, kerana dalam perjuangan yang panjang, setiap insan mempunyai pertimbangan tersendiri, dan yang lebih utama ialah memastikan segala keputusan akhirnya menyumbang kepada penyatuan, kekuatan serta kelangsungan perjuangan demi masa depan yang lebih stabil dan berprinsip.

“Ia membuktikan bahawa bagi beliau, jawatan hanyalah amanah sementara, tetapi maruah, prinsip dan kebenaran tidak boleh dikompromi. Walaupun melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, beliau kekal komited sebagai Ketua Pemuda UMNO dan terus berdiri di hadapan memperjuangkan suara akar umbi serta masa depan parti dengan keberanian dan ketegasan,” ujarnya.

Ujar beliau, kematangan politik menuntut semua pihak menilai sesuatu tindakan secara rasional dan berlapang dada, tanpa membuat kesimpulan terburu-buru yang boleh mencetuskan salah faham.

Tegasnya, yang lebih utama ketika ini ialah memastikan setiap keputusan dan tindakan akhirnya menyumbang kepada penyatuan, kekuatan serta kelangsungan perjuangan parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO