PRK Kinabatangan, Lamag: SWP Komited Bantu Golongan Memerlukan

KINABATANGAN, 23 Jan – Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP), Dr. Sabrina Mohammad berkata pelaksanaan inisiatif khidmat perubatan komuniti berimpak tinggi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag membuktikan komitmen berterusan Wanita UMNO dalam mendekati rakyat, khususnya komuniti luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, program yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Negeri Sabah dengan kerjasama SWP itu melibatkan beberapa kawasan termasuk Sogo-sogo, Kuamut, Kota Kinabatangan dan Paris, dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan kesihatan asas, konsultasi perubatan serta pendidikan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Pendekatan ‘doktor turun padang’ yang dilaksanakan bukan sahaja memudahkan akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman, malah membolehkan pasukan perubatan memahami secara lebih dekat cabaran serta keperluan sebenar rakyat di lapangan.

“Anjuran ini adalah atas usaha Ketua Wanita UMNO Negeri Sabah, Datuk Noraini Idris dengan kerjasama SWP. Program kali ini menterjemahkan doktor bukan sekadar merawat di klinik, doktor turun padang, mendengar, dan berdiri bersama komuniti.

“Inisiatif ini mencerminkan peranan SWP sebagai platform wanita profesional yang menterjemahkan kesihatan kepada khidmat nyata, dengan pendekatan menyeluruh, beretika dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Dr Sabrina, bagi SWP, kesihatan bukan sekadar perkhidmatan tetapi ia adalah tanggungjawab sosial dan pelaburan masa depan komuniti.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO