Kekal Teguh, UMNO Tidak Pernah Lari Daripada Perjuangan Asal – Iqbal Jamal

IPOH, 23 Jan – UMNO tidak pernah berubah pendirian atau menyimpang daripada perjuangan asalnya walaupun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaluddin menegaskan, pendirian UMNO sejak penubuhannya kekal berpaksikan kepada Perlembagaan parti yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu memperjuangkan hak Melayu dan Islam, mengembangkan syiar Islam serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, dakwaan kononnya UMNO mengkhianati perjuangan Melayu-Islam hanyalah persepsi yang dibentuk melalui fitnah dan hasutan politik, tanpa bersandarkan fakta sebenar.

“Jika dinilai secara objektif dan berasaskan data serta fakta, tidak ada satu pun dasar atau tindakan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang mengkhianati kepentingan Islam dan Melayu,” katanya kepada UMNO Online.

Iqbal Jamal juga menekankan bahawa UMNO kekal sebagai parti Melayu yang paling konsisten dan lantang mempertahankan isu-isu berkaitan Islam, maruah negara dan institusi diraja, termasuk dalam beberapa isu nasional kebelakangan ini.

Katanya, antara isu yang diperjuangkan UMNO termasuk mempertahankan kesucian kalimah Allah, menolak tuntutan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), membantah penyajian arak dalam majlis rasmi, mengecam penghinaan terhadap Jalur Gemilang, mempertahankan status halal serta menjunjung titah Sultan Selangor berkaitan isu ladang babi.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa UMNO melalui pimpinan yang berada dalam kerajaan persekutuan dan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasa syiar Islam dan pembangunan orang Melayu.

Antaranya ialah kesinambungan Dasar Tahfiz Negara, pengiktirafan graduan tahfiz melalui bidang TVET, pengenalan pendidikan tahfiz di Tadika KEMAS, peningkatan peruntukan hal ehwal Islam di beberapa negeri serta penambahan Tanah Rizab Melayu khususnya di Perak.

“Peruntukan berbilion ringgit kepada MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju juga membuktikan komitmen UMNO dalam memperkukuh agenda pendidikan dan ekonomi Melayu,” katanya.

Beliau mengakui UMNO bukan parti yang sempurna, namun menegaskan parti itu tidak pernah lari daripada prinsip dan perjuangan asal.

“Cabaran hari ini adalah persepsi. Ramai memilih sentimen berbanding kebenaran. Namun UMNO akan terus bekerja dan berjuang demi masa depan negara dan generasi Malaysia yang bersatu, harmoni serta sejahtera,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa usaha berterusan berlandaskan kerja dan bukti akan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO