RM12 Juta Dana Disalur Bagi Perkasa Usahawan Dan Koperasi Kinabatangan
KINABATANGAN, 22 Jan – Warga Kinabatangan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemain koperasi, menerima dorongan ekonomi baru melalui Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan yang diadakan di Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh.
Program ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dengan menyerahkan pelbagai dana pembiayaan bagi membantu pengembangan perniagaan tempatan.

Antara bantuan kewangan yang disalurkan ialah:
• RM11.7 juta daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
• RM282,000 daripada TEKUN Nasional
• RM129,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
Mohamad Alamin berharap dana ini akan memberi manfaat kepada warga tempatan.
“Kami berharap dana ini dapat membantu para usahawan dan koperasi untuk berkembang serta memperkukuh ekonomi tempatan. Ini adalah usaha kita bersama untuk membuka peluang kepada semua warga Kinabatangan.”
Hadir sama, Mohd Kurniawan Naim Moktar, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Malaysia yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Kinabatangan, selain turut beramah mesra dengan para usahawan.
“Sokongan kepada koperasi dan PMKS adalah kunci kepada pembangunan ekonomi komuniti. Saya gembira dapat menyantuni mereka secara langsung,” katanya yang berharap agar program ini dapat memperkasakan ekonomi setempat, meningkatkan kapasiti koperasi, dan membuka peluang pekerjaan dalam komuniti Kinabatangan. – UMNO Online
