MINDEF Iktiraf Peranan R&D Sebagai Pemangkin Pertumbuhan Industri Pertahanan Tempatan

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Untuk menjayakan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut mengiktiraf peranan penting penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, DIPN berfungsi sebagai rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi industri pertahanan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) memang mempunyai perancangan untuk mewujudkan dan membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing dan berdikari. Salah satu aspirasi MINDEF adalah untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan negara terhadap sumber dan kepakaran asing.

“Dalam satu perkara yang menjadi asas untuk mencapai matlamat ini ialah wujudnya dasar khusus untuk bangunkan Industri Pertahanan Negara. Syukur Alhamdulillah, saya ingin melaporkan ke dewan yang mulia ini, DIPN telah dilancarkan secara rasmi pada 21 Januari 2026, semalam, oleh Perdana Menteri di MITEC, Kuala Lumpur.

“DIPN berfungsi sebagai rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi industri pertahanan Malaysia. Berpaksikan visi jangka panjang Kertas Putih Pertahanan (KPP), dasar ini menterjemahkan aspirasi strategik pertahanan negara kepada objektif industri yang bersifat praktikal dan boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, DIPN digerakkan melalui enam teras objektif strategik.

“Pertama, memperkukuh daya tarikan pelaburan;kedua, meningkatkan inovasi dan kedaulatan teknologi; ketiga, membina rantaian bekalan tempatan yang tahan lasak; keempat, memperkasa modal insan dan pembangunan bakat; kelima, memastikan tadbir urus yang telus serta beretika; dan keenam, menerajui pertumbuhan ekonomi yang lestari.

“Dalam menjayakan pelaksanaan dasar ini, Kementerian turut mengiktiraf peranan penting R&D sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri pertahanan tempatan. Bagi tujuan ini Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dibawah MINDEF diberi tanggungjawab sebagai peneraju dalam penyelidikan pertahanan.

“STRIDE perlu diberi tanggungjawab merangsang penyelidikan dan pembangunan inovasi pertahanan, menyediakan platform untuk kolaborasi R&D antara pihak awam dan swasta, sediakan ekosistem yang membolehkan inovasi diperkukuhkan dipihak industri, memudahkan kerjasama inovasi dengan institut pengajian tinggi (IPT) serta menilai ketersediaan inovasi untuk digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Untuk menggalakkan dan memudah cara pelaksanaan aktiviti R&D dalam sektor pertahanan tempatan, Kementerian juga telah melancarkan Portal Industri Pertahanan. Salah satu perkhidmatan utama yang disediakan adalah kemudahan permohonan peruntukan R&D yang terbuka kepada semua syarikat tempatan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO