KPI Capai 96 Peratus, Rais Tegaskan 2026 Tahun Pelaksanaan, Bukan Lagi Perancangan
MELAKA, 22 Jan – Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerja dengan penuh fokus dan tanggungjawab dalam memastikan agenda pembangunan negeri mencapai sasaran yang telah digariskan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian selepas menghadiri Retreat Pembangunan Kepimpinan dan Intelektual Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Tahun 2026, yang berlangsung dengan jayanya.
“Alhamdulillah, pencapaian KPI bagi portfolio di bawah Pelan Strategik Melaka Maju Jaya 2035 (Flagship 5: Perbandaran Mampan) yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan YB Datuk Zulkiflee Mohd Zin mencatatkan 96 peratus,” katanya.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan komitmen, disiplin serta kerjasama berpasukan antara semua pihak dalam memastikan setiap dasar dan perancangan dilaksanakan secara berfokus dan memberi impak kepada rakyat.
“Tahun 2026 adalah tahun pelaksanaan, bukan lagi sekadar perancangan. Tiada ruang untuk bekerja secara biasa-biasa. Kita mesti bergerak lebih proaktif, strategik dan berfokus agar setiap dasar dan inisiatif benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang nyata, bukan sekadar di atas kertas,” tegasnya.
Rais turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan dan agensi di bawah portfolio beliau atas semangat kerja berpasukan yang tinggi, selain menyeru agar usaha tersebut terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat Melaka.
“Jalan terus, berkhidmat dan berbudi, itulah prinsip yang akan terus kami pegang dalam memastikan Melaka terus maju dengan pembangunan mampan dan seimbang,” ujarnya lagi. – UMNO Online
