BN Lantik Arthur Joseph Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Sabah, PPP Kembali Sebagai Parti Komponen
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah bersetuju melantik Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Sabah yang baharu bagi memperkukuh struktur dan gerak kerja parti di peringkat negeri.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen BN untuk memastikan penyelarasan yang lebih berkesan serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa.
“Dewan Tertinggi BN telah bersetuju melantik Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi, Datuk Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi dan Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat terbabit yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sebagai parti komponen BN.
“Penyertaan semula PPP adalah selaras dengan semangat BN untuk terus memperkukuh gabungan politik berbilang kaum di bawah satu payung perjuangan yang inklusif dan progresif,” katanya.
Dr Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor atas sokongan berterusan kepada BN.
“BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hajiji atas pelantikan Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri serta Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai Pembantu Menteri, di samping sokongan beliau kepada BN dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, BN kini sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi dua PRK berkenaan.
“Kami memberi tumpuan kepada penyelarasan jentera, pelaksanaan strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk memastikan khidmat terbaik dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
