Ziarah Kasih Perkukuh Sokongan Pengundi PRK Kinabatangan, Lamag

KINABATANGAN, 21 Jan – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed meneruskan komitmen membantu jentera parti apabila turun padang dalam Program Ziarah Kasih di beberapa kampung sekitar Mukim Bukit Garam, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.

Memasuki fasa terakhir kempen, beliau bersama anggota jentera PDM Bukit Garam telah mengunjungi rumah ke rumah penduduk di kawasan pedalaman, sekali gus mendekati rakyat dan mendengar sendiri denyut nadi mereka.

Menurut Jeffery, peluang menyantuni penduduk di pelosok kampung sekitar Kinabatangan memberi pengalaman yang amat bermakna, selain memperkukuh keyakinan terhadap sokongan akar umbi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesihatan dan kesempatan untuk terus bergerak membantu kempen PRK ini. Respons penduduk amat menggalakkan dan rata-rata menerima kehadiran kami dengan baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera PDM Bukit Garam yang menunjukkan semangat dan komitmen tinggi dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK kali ini.

Ujarnya, program Ziarah Kasih ini akan diteruskan ke kampung-kampung lain, dengan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah bagi memastikan setiap lapisan pengundi dapat disantuni secara langsung.

Dalam pada itu, Jeffery menegaskan beliau akan terus berganding bahu bersama jentera UMNO Putatan dan jentera tempatan bagi memperkukuh gerak kerja parti.

“Semangat kental jentera PDM Bukit Garam jelas terpancar. Insya-Allah, saya akan terus membantu dan bersama-sama jentera parti untuk memastikan kejayaan UMNO dan BN di PRK Kinabatangan dan Lamag,” katanya lagi.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili BN, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid sebagai calon bebas, manakala PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Parlimen Kinabatangan mempunyai sebanyak 48,722 pengundi berdaftar manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada Sabtu ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO