UMNO Rumah Bangsa, Norshida Sokong Usaha Penyatuan Parti Melayu Dan Islam

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Presiden UMNO dalam membina kolaborasi yang mempersatukan parti-parti Melayu dan Islam demi menjamin perpaduan serta kemajuan bersama.

Menurut beliau, pendekatan matang dan berhemah yang dilaksanakan melalui musyawarah, termasuk menerusi Majlis Mesyuarat Nasional dan Majlis Perundingan Ummah, merupakan langkah yang bijak dalam menghadapi cabaran politik dan sosial semasa.

“Usaha ini mencerminkan kematangan kepimpinan UMNO dalam mencari titik persamaan demi kepentingan ummah dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu terus melakukan pembaharuan dan penambahbaikan agar kekal relevan serta dipercayai oleh rakyat.

Katanya, semangat pembaharuan yang bersifat inklusif dan berpaksikan komitmen akar umbi mampu membina kepimpinan yang lebih bersatu, berani dan berwibawa.

Datuk Norshida juga berharap agar semangat muafakat dan perpaduan yang dibina ini dapat terus mengukuhkan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti yang stabil, berprinsip dan ikhlas dalam berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Semoga kita semua terus berpegang teguh kepada nilai Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat demi masa depan yang lebih gemilang,” tambah beliau.

Terdahulu dalam intipati ucapan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu memaklumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO