Ringankan Beban … TokMat Hasan Sampaikan Bantuan Awal Persekolahan
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan bantuan awal persekolahan untuk meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa bantuan kewangan tunai secara one-off telah disampaikan untuk menyediakan keperluan asas murid sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Alhamdulillah, petang tadi dapat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2026 kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Senawang.
“Bantuan kewangan tunai secara one-off yang disalurkan pada awal tahun ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga, khususnya dalam menyediakan keperluan asas murid untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada para penerima dan membolehkan anak-anak belajar dalam keadaan selesa.

“Untuk rekod, jumlah keseluruhan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang dari Tahun 1 hingga Tahun 6 adalah seramai 979 orang dan semua murid menerima manfaat daripada inisiatif ini.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat dan membantu memastikan kelangsungan pembelajaran anak-anak dalam suasana yang lebih selesa serta teratur,” katanya lagi. – UMNO Online
