Penyelesaian Isu Banjir Kilat Kulai Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri Johor
KULAI, 21 Jan – Isu banjir kilat yang berlarutan sejak berbelas tahun di sepanjang Jalan FT001 melibatkan kawasan seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kini ditangani secara serius oleh Kerajaan Negeri Johor melalui pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan dan pembentung secara tersusun dan berfasa.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setiap langkah pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor sentiasa berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat, keselamatan pengguna jalan raya serta kelestarian persekitaran.

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur bukan sekadar soal binaan, sebaliknya melibatkan nyawa, keselamatan dan kualiti hidup rakyat.
“Justeru, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan pembentung di lokasi kritikal di Kulai menjadi antara keutamaan dalam agenda Johor Maju dan Johor Selamat,” katanya.
Jelas beliau, antara projek utama yang dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan crossing culvert di kawasan Peladang bernilai RM1.5 juta di bawah peruntukan JKR melalui konsesi Selia Selenggara, bertujuan melancarkan aliran air, mengurangkan risiko limpahan serta memberi keselesaan kepada ribuan pengguna laluan tersebut setiap hari.
“Di Kulai Besar hadapan Kedai Raintree pula, projek crossing culvert bernilai RM1.5 juta telah siap sepenuhnya sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah takungan air ketika hujan lebat, sekali gus melindungi premis perniagaan, kenderaan dan penduduk sekitar daripada kerugian berulang.
“Manakala di Batu 23, Eco Business Park, projek crossing culvert bernilai RM1.2 juta membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memastikan kawasan industri dan komersial berkembang dalam persekitaran yang terurus, selamat dan mampan tanpa mengabaikan aspek pengurusan saliran.
“Di kawasan TJ Mart Saleng pula, satu lagi projek crossing culvert bernilai RM1.5 juta di bawah peruntukan JKR dilaksanakan sebagai langkah intervensi penting bagi menangani isu limpahan air yang sering menjejaskan laluan utama dan aktiviti harian penduduk setempat,” katanya.

Maklumnya, kesemua projek ini melibatkan pemasangan crossing culvert bersaiz besar, pembinaan pit inlet dan outlet, sump dan penutup sump, menaik taraf longkang bersaiz 600mm hingga 900mm serta kerja penurapan semula jalan sebagai penyelesaian struktur yang lebih kukuh dan tahan lama demi keselamatan rakyat.
Mohd Jafni turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kulai, Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju IOI, Genting serta konsesi Selia Selenggara atas komitmen dan kerjasama erat turun ke lapangan mendengar keluhan rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga ADUN Bukit Permai berkata, Kulai kini muncul sebagai antara kawasan paling pesat membangun di Johor sejajar kedudukannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Daripada jumlah pelaburan yang direkodkan pada suku ketiga tahun lalu, sekitar 60 peratus tertumpu di Kulai,” katanya, sambil menegaskan inisiatif Fast Lane Kulai yang mempercepatkan kelulusan dan mengurangkan kerenah birokrasi berjaya meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing. – UMNO Online
