Melaka Teroka Kerjasama Strategik Bersama Portugis Untuk Memperkasa Negeri
MELAKA, 21 Jan – Kerajaan Negeri Melaka terus menyambut baik peluang kerjasama strategik bersama Kerajaan Portugis, khususnya dalam bidang budaya dan bahasa, sebagai usaha memperkasakan negeri ini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menerima kunjungan hormat TYT Luiz Manuel de Albuquerque Veloso, Duta Besar Portugis ke Malaysia, dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.

Menurut Ab Rauf, pertemuan itu memberi ruang untuk meninjau peluang memperkukuh hubungan dua hala dan memperkaya warisan sejarah Negeri Melaka.
“Melaka diiktiraf sebagai sebuah negeri yang unik, kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik. Keunikan ini termasuk Perkampungan Portugis yang menjadi warisan tersendiri dan tidak terdapat di tempat lain,” jelasnya.
Katanya, melalui platform seperti Institut Tun Perak (ITP), pelbagai inisiatif boleh dijalankan untuk mengumpul maklumat, artifak, serta bahan sejarah bernilai tinggi.
Ujarnya, langkah ini bukan sahaja memperkasakan khazanah sejarah negeri tetapi turut memastikan warisan budaya dapat diwarisi generasi akan datang.
“Kami melihat kerjasama strategik ini sebagai pemangkin untuk memperkasa lagi identiti budaya Melaka sambil membuka ruang bagi pembangunan pendidikan dan pelancongan berasaskan warisan.”

Ab Rauf juga berharap hubungan yang diperkukuh ini akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang kebudayaan, pendidikan, dan pertukaran sejarah, sekali gus menegaskan kedudukan Melaka sebagai negeri bersejarah yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Pertemuan tersebut turut disertai EXCO kanan dan Konsul Kehormat Portugis, termasuk Datuk Rais Yasin, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, serta Datuk Mohamed Noor Sany Mohamed Noor Khan. – UMNO Online
