UMNO Hulu Terengganu Terus Prihatin, Sampaikan Bantuan Persekolahan

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat pada semalam berbesar hati menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata ia bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Senyum mak ayah SK Kuala Telemong hari ini apabila anak-anak menerima Bantuan Awal Persekolahan.

“Sekurang-kurangnya, dapat meringankan sedikit bebanan belanja persekolahan yang semakin mencabar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Rozi, bantuan itu diberikan kepada semua pelajar yang layak tanpa mengira latar belakang.

Katanya ia selaras dengan pendekatan kerajaan yang bersifat inklusif dan menekankan kebajikan rakyat.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif yang inklusif ini. Kali ini, setiap pelajar menerima bantuan tanpa mengira latar belakang.

“Inilah pendekatan yang kita harapkan di mana kebajikan rakyat didahulukan, masa depan anak-anak diberi keutamaan. Semoga usaha baik ini terus berpanjangan dan memberi manfaat kepada semua,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO