Putar Belit Titah Agong: Armand Gesa KDN Ambil Tindakan Tegas Terhadap China Press

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap akhbar China Press yang memutarbelitkan Titah Agong semasa Istiadat Pembukaan Parlimen pada Isnin.

Ujarnya, artikel yang dikeluarkan oleh akhbar berkenaan tidak menggambarkan semangat perpaduan dan gagal memahami konsep kenegaraan serta perpaduan.

“Ada beberapa orang telah menghantar mesej kepada saya untuk memberi pandangan tentang kenyataan biadab yang telah dikeluarkan oleh China Press terhadap Titah Yang di-Pertuan Agong ketika perasmian sidang Parlimen semalam.

“Jadi bagi saya, kenyataan kurang ajar China Press tu amat tidak menggambarkan semangat perpaduan dan bukan sebagai sebuah akhbar yang berpegang kepada konsep kenegaraan serta perpaduan.

“Begitu kurang ajar menghina sehingga boleh mengeluarkan kenyataan-kenyataan cukup biadap terhadap Titah Yang di-Pertuan Agong. Sedangkan baginda hanya berkata, kalau kita tidak boleh berbahasa Melayu lebih baik jangan jadi rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran video.

Tambahnya, titah Agong tersebut adalah adil dan jelas kerana ia telah termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Titah itu adil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan negara kita. Tetapi jikalau China Press mengeluarkan kenyataan yang biadab, tidak menghormati Titah Agong, saya rasa lebih baik untuk tarik lesen mereka kerana bersikap kurang ajar.

“Kalau sesuatu akhbar yang telah diberikan lesen sebagai kebenaran untuk beroperasi dalam negara kita yang berlandaskan Perlembagaan tidak menghormati Titah Yang di-Pertuan Agong, saya rasa tidak ada cara lain yang paling baik.

“Tarik balik lesen China Press dan jangan benarkan mereka beroperasi. Ataupun buat seperti MalaysiaKini, arahkan mereka datang mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon maaf secara terbuka. Kena bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya lagi.

Pada Isnin, China Press telah memuatnaik sekeping poster di laman sosial mereka dengan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan kapsyen ‘tidak tahu bahasa Melayu jangan duduk malaysia’.

Kapsyen tersebut jelas bercanggah dengan Titah asal Yang di-Pertuan Agong yang mengatakan bahawa ‘kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO