Prinsip Piagam ASEAN Perlu Dikekalkan, Jadikan Asia Tenggara Aman, Bebas Dan Berkecuali
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Malaysia sememangnya komited berhubung keberkesanaan ASEAN menangani konflik yang timbul kerana itulah asas ASEAN yang mahu mewujudkan satu kawasan aman, bebas dan berkecuali.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sentiasa memainkan peranan aktif dan menambah nilai dari semasa ke semasa bagi memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, bebas serta berkecuali daripada sebarang pengaruh luar yang boleh menggugat keharmonian serantau.
“Prinsip asas Piagam ASEAN perlu dikekalkan. Malaysia menambah nilai dari masa ke semasa untuk pastikan supaya rantau Asia Tenggara ini menjadi rantau yang aman, bebas dan berkecuali.
“Itu sebab Malaysia adakan banyak platform-platform, ada berbagai mekanisme setelah diwujudkan dari masa ke semasa untuk membawa juga orang luar sesiapa saja yang ingin menjadi rakan dialog dan mesti melalui beberapa proses yang dipanggil proses menandatangani triti, keamanan dan kerjasama. Kalau tidak mahu tanda tangan tersebut kita tidak mahu.
“ASEAN juga keberkesanan perjanjian tidak ada kuasa nuklear, penggunaan bahan-bahan nuklear di kawasan ini perlu dikekalkan dengan mengadakan Deklarasi Bangkok dahulu,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan peranan dan keberkesanan ASEAN dalam menangani konflik wilayah serta tindakan ke hadapan untuk memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara penyelesaian konflik secara aman dan berkesan.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan Malaysia mahukan Myanmar menyelesaikan masalah mereka dan kemudian boleh bersama-sama menyertai apa saja mesyuarat peringkat menteri dan ketua negara.
“Malaysia sentiasa komited dan Asean akan menjadi sebagai satu rantau atau pun blok rantau negara-negara sentiasa saja menyeru kepada keamanan dan salah satu dari rakan dalam Asean iaitu Myanmar telahpun mempunyai masalah dalam negara mereka.
“Banyak mekanisme yang mahu supaya kepusatan Asean perlu dijaga. ‘centrality’ adalah kekuatan Asean, jika ini tidak dijaga dan ianya pecah, kekuatan Asean akan hancur,” ujarnya. – UMNO Online
