Kerajaan Madani Komited Junjung Titah YDPA, Laksana Reformasi Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kerajaan Madani akan terus komited menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melaksanakan reformasi yang menyeluruh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, beliau amat menghargai titah YDPA yang menegaskan keperluan untuk memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA, Sultan Ibrahim atas perkenan mencemar duli berangkat ke Parlimen bagi Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas dan berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal bagi tahun ini.
“Patik amat menghargai Titah Seri Paduka Tuanku yang menegaskan keperluan memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi, serta meningkatkan usaha memerangi rasuah secara tegas dan menyeluruh sebagai pedoman penting kepada Kerajaan Madani dalam memperkukuh tadbir urus, integriti juga sistem keadilan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa titah YDPA seharusnya dihargai dan menjadi pedoman Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk perbahasan yang lebih berkualiti.
“Titah Tuanku yang sarat dengan teguran membina, cadangan penambahbaikan dan dorongan bagi kerajaan terus memperhebat usaha dan ikhtiar bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan maju sudah semestinya dihargai dan menjadi pedoman Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi perbahasan yang lebih berkualiti, seiring dengan peranan Parlimen selaku badan perundangan tertinggi negara.
“Kerajaan Madani akan terus komited dan menjunjung Titah YDPA untuk melaksanakan reformasi yang menyeluruh, berfasa dan berimpak, demi kepentingan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan YDPA mengalu-alukan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan bagi mereformasi institusi dan undang-undang di Dewan Rakyat.
Baginda bertitah, usaha itu termasuklah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini. – UMNO Online
