Titah Agong Padat, Pelbagai Perkara Penting Boleh Dibahas Ahli Parlimen – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 19 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 sebagai padat dan menyeluruh, merangkumi perkara penting perlu diberi perhatian.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata meskipun titah berkenaan disampaikan secara ringkas, kandungannya sarat dengan mesej yang boleh dijadikan fokus oleh Ahli Parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dijadual bermula esok.

“Apa yang paling penting ialah soal yang sudah termaktub itu tidak diganggu atau diubah, supaya menjadi asas perbahasan yang jelas,” katanya selepas menghadiri istiadat itu di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, setiap kementerian mempunyai dasar dan pelan tindakan khusus yang akan dibentang dan dibahaskan Ahli Parlimen, termasuk KKDW.

Beliau berkata, KKDW merancang 42 inisiatif perubahan besar untuk dilaksanakan tahun ini dan semua inisiatif itu akan diteliti Ahli Parlimen melalui penyelidikan masing-masing untuk dibahaskan pada persidangan Parlimen kali ini.

“Semua program utama yang ditetapkan akan dilaksanakan mengikut perancangan strategik kementerian dan sudah tentu perkara ini akan menjadi fokus pada perbahasan di Parlimen,” katanya.– BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO