‘Jangan Takut Dap, Yang Bahaya Melayu Berpecah’ – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kebimbangan paling utama ketika ini adalah kegagalan orang Melayu untuk bersatu.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, ini kerana ketakutan yang dimomokkan segelintir pihak terhadap parti bukan Melayu adalah tidak relevan.

“Kita tak perlu takut dengan sesiapa. Kenapa perlu kita takut dengan Dap? Saya rasa tidak ada sebab kita perlu takutkan dia. Kita tidak takut kepada Gerakan, kita tak pernah takut kepada MCA, kita tak pernah takut dengan mana-mana parti yang bukan Melayu, kenapa perlu kita takut dengan Dap?
“… yang kita takut apabila Melayu tidak boleh bersatu. Sebab itu saya menyahut ucapan dasar Presiden untuk Penyatuan Rumah Bangsa untuk masa depan.
“Pas tak hendak tidak apa bukan kita boleh paksa. Dahulu kita sudah bawa ke sini, kita semua menangis… kita saja yang menangis, mereka tak menangis,” katanya.
Johari berkata demikian ketika ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan Rumah Bangsa, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata ia wajar direalisasikan demi penyatuan orang Melayu.
Menurut beliau ini kerana tanggungjawab ahli UMNO sangat besar untuk memastikan parti terus relevan, dipercayai untuk memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara.
“Sebenarnya saya menyokong inisiatif ini… ada orang yang tak suka, tapi ada yang suka. Ini lumrah.
“Namun saya berharap Rumah Bangsa ini akan menjadi kenyataan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang kerana penyatuan orang Melayu ini sangat-sangat penting.
“Pergi mana saja di dunia ini negara yang mempunyai sesuatu kaum yang lebih majoriti, negara itu tidak akan stabil kalau komuniti majoriti itu sudah berpecah,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
