Wanita UMNO Johor Sokong Amanat Tok Mat, Tekad Perkukuh Gerak Kerja Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Wanita UMNO Johor menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan perasmian serentak oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sempena Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2025, yang disifatkan sebagai amanat strategik dalam memperkukuh hala tuju parti.
Ketuanya, Asiah Md Ariff, berkata ucapan tersebut bukan sekadar peringatan politik, malah satu penilaian jujur dan realistik terhadap kedudukan UMNO pasca beberapa siri pilihan raya serta perubahan landskap politik dan sentimen rakyat masa kini.
Menurut beliau, Wanita UMNO Johor menginsafi teguran Timbalan Presiden mengenai gelombang penolakan terhadap parti pemerintah di peringkat global dan nasional, yang berpunca daripada tekanan kos sara hidup, keresahan ekonomi serta perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya generasi muda.

“Realiti ini menuntut UMNO, termasuk Wanita UMNO, melakukan pembaharuan secara bersungguh-sungguh, berfikir lebih strategik dan bertindak dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan sokongan terhadap peringatan bahawa UMNO tidak boleh terperangkap dengan emosi, nostalgia dan retorik semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai parti yang matang, rasional dan mampu menjadi pengimbang berkesan demi kestabilan negara tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan.
Ujarnya, Wanita UMNO Johor juga menyokong penuh penegasan Timbalan Presiden mengenai “garis merah” UMNO yang tidak boleh dikompromi, iaitu mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Dalam masa yang sama, Asiah berkata Wanita UMNO Johor komited melaksanakan peranan sebagai “Agen Ekonomi Rumah Tangga” dengan mendekati denyut nadi rakyat, khususnya wanita dan keluarga yang terkesan dengan tekanan ekonomi.
“Wanita UMNO Johor akan terus memperkukuh peranan di peringkat akar umbi sebagai penyelesai masalah rakyat, penghubung bantuan dan suara yang berani serta berfakta dalam memperjuangkan kebajikan isi rumah,” ujarnya.
Menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, beliau menegaskan bahawa Wanita UMNO Johor bertekad menterjemahkan amanat tersebut melalui gerak kerja yang lebih tersusun, berpaksikan data, empati dan keikhlasan dalam berkhidmat.
Beliau percaya, dengan berpandukan amanat ini, UMNO mampu kembali bangkit sebagai parti yang relevan dan diyakini rakyat, bukan semata-mata kerana sejarah, tetapi kerana keupayaan sebenar untuk mengurus negara dan membela kepentingan rakyat.
“Wanita UMNO Johor akan terus berdiri teguh, berdisiplin dan berprinsip demi memastikan UMNO kembali kuat serta bersedia menghadapi cabaran politik mendatang dengan kebijaksanaan,” katanya. – UMNO Online
