UMNO Tidak Pernah Abai Suara Akar Umbi, PAU 2025 Jadi Medium Bersuara

KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMNO tidak pernah mengabaikan hasrat akar umbi dalam membuat keputusan maka Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 ini menjadi medan untuk mereka bersuara, kata Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, banyak perkara disentuh ketika Taklimat Presiden yang diadakan pada Rabu dalam usaha memulihkan semula parti di persada politik tanah air.

“Alhamdulilah. Saya lihat Taklimat Presiden hari ini amat menyeluruh. Banyak hal disentuh … berkenaan apa yang berlaku pada hari ini termasuklah gerak kerja perhubungan negeri-negeri sebagai langkah siap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Satu taklimat yang cukup baik pada saya.

“Ini semua adalah sebagai salah satu usaha untuk kita bangkit semula sebelum menghadapi gerak kerja lebih besar yang berada di hadapan kita iaitu PRU ke-16,” katanya kepada UMNO Online

Tegasnya, suara akar umbi menjadi kekuatan parti termasuklah dalam proses pembuatan sebarang keputusan.

“Kepimpinan selama ini memang tidak pernah abai suara akar umbi di peringkat mana sekali pun. Sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Ini kerana suara akar umbi itu adalah daripada ahli-ahli parti kita sendiri.

“Sebab itulah pemimpin selalu dengar apa jua yang disuarakan kerana kekuatan parti ini, ada di akar umbi. Jadi, apa yang presiden sebutkan sebentar tadi memang betul. Daripada dulu sehingga hari ini, saya yakin Presiden sendiri pun mendengar apa yang telah disuarakan dan dibawa oleh ahli-ahli parti di akar umbi.

“Tak kiralah melalui perbahasan sayap ataupun PAU besar. Pada saya, itu adalah satu tauladan kepimpinan yang cukup baik. Kita selalu mendengar apa jua pandangan dan ambil perkara tersebut untuk membuat persiapan dan keputusan di peringkat atas,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berpandangan bahawa keputusan untuk bertanding secara solo pada PRU ke-16 adalah amat baik berbanding mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN).

“MN ini adalah muafakat UMNO dengan Pas. Pas ini semua parti dah dia ‘berkawan’. Semua parti dia dah ‘kahwin’. Bagi saya, bukan satu keputusan yang baik untuk bersama semula dengan PAS ataupun hidupkan semula MN.

“Presiden pun ada cakap, yang keluar daripada MN bukan UMNO. Pas itu sendiri yang tinggalkan UMNO kerana nak kejar jawatan pada masa tu. Makna kata, satu keputusan yang tidak ambil kira sahabat MN yang kita tubuh ketika menjadi pembangkang dulu. Bagi saya sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, saya tidak bersetuju.

“Apa yang presiden sebut, kita bertanding solo. Itu satu keputusan yang baik. Kita bertanding solo tetapi dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Tak perlu MN. Saya tengok hari ini orang Melayu dah mula yakin dengan kepimpinan UMNO. Mereka pun dah mengaku buat kesilapan dahulu. Jadi, Insya-Allah kalau kita bekerja dan buat satu keputusan yang terbaik … saya ingat akar umbi akan balik kepada UMNO. Waima di Kedah sendiri pun kita yakin,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kebebasan perwakilan bersuara ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO menunjukkan keprihatinan Presiden UMNO terhadap pendapat akar umbi.

“Macam Presiden katakan sebentar tadi bahawa beliau akan dengar dan beri kebebasan untuk jurucakap-jurucakap melontarkan pandangan. Sama ada untuk esok di persidangan sayap dan juga PAU, wakil-wakil daripada negeri diberi kebebasan bersuara sebagai perwakilan mewakili negeri ataupun sayap masing-masing.

“Ini satu keputusan Presiden yang begitu prihatin dan nak dengar keluhan daripada sayap serta negeri. Ini satu perkara yang baik untuk kita pucuk kepimpinan buat persiapan bagi menghadapi PRU ke-16 dan pada tahun ini pun akan ada dua kali PAU.

“Saya ingat Insya-Allah pada PRU ke-16 akan datang … kalau inilah keputusan Presiden sendiri (beri kebebasan bersuara), saya yakin UMNO akan kembali untuk memenangi kerusi-kerusi yang kita kalah dulu,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO