UMNO Tidak Berganjak Daripada Prinsip Asas Perjuangan – Rosni

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Rosni Sohar menzahirkan keyakinan bahawa UMNO kekal teguh memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor berkata, bagi memastikan perjuangan ini terus relevan dan diterima rakyat, setiap pemimpin UMNO yang diberi amanah perlu lebih fokus, berdisiplin serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab, lebih-lebih lagi dengan tempoh menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin hampir.

“Penegasan bahawa walaupun UMNO bekerjasama dalam kerajaan, prinsip asas parti tidak pernah berganjak. Perkara melibatkan agama, Melayu dan Raja-raja adalah isu sensitif yang tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak boleh lagi berada dalam zon selesa. Masa setahun lapan bulan bukanlah lama. Kita perlu buat perubahan sebenar, bukan sekadar semangat sementara. Pendekatan baharu mesti dilaksanakan di peringkat akar umbi,” katanya.

Rosni berkata demikian sebagai respon kepada ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2025 oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap Wanita UMNO menjadi penggerak utama dalam mengubah cara mendekati masyarakat, selain terus bekerjasama erat dengan Pemuda dan Puteri UMNO bagi memastikan parti kekal relevan serta dominan dalam landskap politik negara.

Katanya lagi penekanan agar parti menyesuaikan pendekatan dengan kehendak semasa adalah langkah tepat dan relevan dengan realiti politik hari ini terutama membabitkan generasi muda yang kurang memahami sejarah perjuangan UMNO.

“Insya-Allah, dengan kesedaran dan semangat yang ditiupkan ini, UMNO akan terus menjadi induk kepada perjuangan bangsa dan negara.

“Anak-anak muda hari ini melihat politik dari sudut yang berbeza.

“Jadi kita perlu ubah strategi dan pendekatan supaya mesej perjuangan UMNO dapat difahami serta diterima oleh semua lapisan rakyat, tanpa mengira generasi,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO