Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Malaysia – Dr Mohd Akmal Saleh

SALUTASI
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

1. Yang dihormati Sahabat saya, Wan Agyl Wan Hassan, Pengerusi Tetap Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia,

2. Yang dihormati sahabat saya, Zairul Azmir Ramli, Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

3. Yang Berhormat,

4. Yang dihormati sahabat saya, YB Hairi Md Shah, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

5. Yang Berhormat wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi,

6. Barisan Pegawai-Pegawai, Ketua-Ketua Bahagian, Sahabat-sahabat EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

7. Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, para pemerhati yang berada di dalam dan di luar dewan,

8. Tuan-tuan dan puan-puan, serta wakil-wakil media yang saya hormati, dan pastinya

9. Seluruh kehadiran 1160 perwakilan Pemuda dari 190 (seratus sembilan puluh) bahagian seluruh Negara, yang mewakili 13,478 cawangan Pemuda UMNO ke perhimpunan ini.

PEMUDA MEMAKNAKAN SEBUAH AMANAH
1. Segala puji-pujian buat Allah Yang Maha Kudus, Dia yang menguasai Arasy di jemala samudera tertinggi, Dia yang menciptakan langit tanpa tiang penyangga, dan menghamparkan bumi sebagai tempat manusia berpijak dan bermuhasabah.

2. Dia yang mengetahui segala yang telah berlalu, yang sedang berlaku, dan yang masih tersimpan dalam rahsia waktu. Tiada satu pun gerak dan diam yang terlepas daripada ilmu dan kehendak-Nya.

3. Milik-Nya segala yang bernyawa dan tidak bernyawa, bermula dari ketiadaan, kembali kepada-Nya jua. Tiada yang terlepas daripada genggaman-Nya, tiada yang berlaku tanpa izin dan hikmah-Nya. Kepada-Nya kita bersandar ketika diuji, dan kepada-Nya jua kita kembali apabila hati terasa berat menanggung tanggung jawab.

4. TANGGUNG JAWAB – adalah sebab kita tidak menanggalkan jati diri. Ia membuatkan kita terus berdiri hari ini, dengan baju Melayu putih membalut tubuh, songkok dan samping melengkapkan maruah. Bukan kerana adat semata-mata, tetapi kerana di sebalik persalinan ini, terkandung janji kesucian niat dan keikhlasan terhadap perjuangan yang kita junjung.

5. Tanggungjawab bukan sekadar lafaz yang disebut di bibir, tetapi beban yang dipikul di bahu dan di dalam jiwa. Ia diuji ketika keputusan menjadi sukar, ketika kebenaran tidak lagi selesa, dan ketika pendirian menuntut keberanian.

6. Mudah untuk bercakap tentang tanggungjawab ketika semuanya tenang. Namun tanggungjawab sebenar hanya terserlah apabila kita berhadapan tekanan, apabila suara kita disalahertikan, dan apabila pendirian kita mengundang risiko.

7. Di sinilah, tanggungjawab membezakan antara mereka yang sekadar memegang jawatan,dengan mereka yang benar-benar ikhlas memikul bebannya.

8. Sebagai Pemuda, tanggungjawab kita bukan untuk mencari keselesaan, tetapi untuk menjaga roh perjuangan. Bukan untuk menjadi pelengkap yang senyap, tetapi menjadi suara yang jujur ketika akar umbi resah dan gelisah.

9. Kerana sejarah UMNO tidak dibina oleh mereka yang menunggu, tetapi oleh mereka yang berani mendahulukan tanggungjawab walaupun terpaksa menanggung cemuhan –
semuanya dilakukan demi meletakkan kepentingan agama, bangsa dan parti mengatasi kepentingan diri.

10. Dan di hadapan saya inilah, barisan pemuda yang sangat saya hormati dan percaya akan kejujuran hatinya, perlu jujur bertanya kepada diri sendiri : “apakah kita sedang mempertahankan prinsip, atau sekadar mempertahankan kedudukan?”

11. Kerana, selagi mana kita berpegang pada tanggungjawab, selagi itulah persalinan ini bukan sekadar simbol, tetapi peringatan bahawa setiap langkah kita akan dipersoalkan oleh sejarah dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

يَ ـٰٓأَيَُّها ٱلَِّذيَنَءاَمنُو۟اََل تَُخونُو۟ا ٱَّّللََوٱلَّرُسوَلَوتَُخونُٰٓو۟ا أََم ـنَ ـتُِكْمَوأَنتُْم تَْعَلُموَن .12
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu
mengetahui (salahnya)” – Surah Al-Anfaal, ayat 27

PEMUDA MENITI PERJALANAN YANG SUKAR
Sahabat-sahabat Pemuda sekalian,
13. Perjalanan ini bukan mudah. Ia menuntut keberanian untuk meninggalkan kepentingan peribadi. Ia menuntut keikhlasan untuk mendahulukan prinsip. Ia menuntut kesanggupan untuk disalahfaham, dipersoal, malah ditinggalkan.

14. Pemuda UMNO hari ini berada di persimpangan itu. Kita boleh memilih untuk kekal selesa. Atau kita boleh memilih untuk setia kepada roh perjuangan.

15. Saya perlu menyatakan hakikat sebenar, yang mungkin pahit untuk ditelan oleh semua. Kita sedang berdepan satu penyakit yang berbahaya dalam UMNO, iaitu “denial syndrome”. Kita masih berkata kita baik-baik sahaja, sedangkan jauh di lubuk hati kita tahu, kita tidak baik-baik.

16. Kita masih berasa selamat kerana kita ada menteri, ada jawatan, ada prestasi pentadbiran yang boleh ditunjukkan. Kita yakinkan diri bahawa rakyat akan terus menyokong kerana kita dalam kerajaan. Sedangkan untuk dua PRU berturut-turut, kita telah tewas dan jumlah
kerusi semakin mengecil.

17. Kita rasa kita masih okay, walhal di peringkat akar umbi, realitinya berbeza. Rakyat keliru. Penyokong setia bertanya ke mana arah perjuangan. Dan Pemuda mendengar kegelisahan itu setiap hari.

18. UMNO telah lama dididik bahawa perjuangan ini tidak dibina di atas kuasa, tetapi di atas kepercayaan rakyat. UMNO tidak lahir sebagai mesin untuk menang pilihanraya, tetapi sebagai gerakan yang memelihara agama, bangsa dan tanah air. Inilah yang menjadi pemula dan asbab UMNO ditubuhkan sewaktu menentang Malayan Union dahulu.

19. Benar, hari ini UMNO berada dalam kerajaan. Benar, UMNO mempunyai Menteri yang cemerlang dalam Kabinet. Tapi kita mungkin terlupa satu soalan yang paling jujur dan paling perlu ditanya hari ini: adakah kepercayaan rakyat terhadap UMNO benar￾benar semakin meningkat sepanjang kita berada di pundak kuasa ini?

20. Kita sedang berdepan krisis kepercayaan – ini hakikat yang tidak boleh lagi disorok. Dan jika kita benar-benar mahu mengembalikan kepercayaan itu, maka kita mesti berani bercakap dalam bahasa rakyat, menyuarakan suara rakyat, walau sepahit mana pun kebenaran itu untuk ditelan.

21. Sepertimana yang diamanatkan oleh Timbalan Presiden malam tadi, Pemuda akan terus menjalankan tugas sebagai “loceng kecemasan”, demi pastikan parti tidak lalai dan cuai.Terima kasih Timbalan Presiden atas kepercayaan ini.

22. Kerana hakikatnya, menjadi kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan esok. Jika krisis kepercayaan ini terus dibiarkan, jika suara akar umbi terus dipendam, maka jangan kita terkejut sekiranya pada PRU akan datang, rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO.

23. Ambil iktibar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun. Mereka tumbang selepas terlalu lama berkuasa, bangkit sebagai pembangkang berdisiplin, dan kembali memerintah dengan mandat rakyat.

24. Sebaliknya, kita juga harus belajar daripada sejarah Parti Revolusioner Institusional (PRI) di Mexico. Hampir tujuh dekad berkuasa, tetapi akhirnya mati kerana kehilangan jiwa perjuangan.

25. Kisah-kisah ini mengajar kita satu perkara yang jelas – parti boleh jatuh kerana kehilangan kuasa, tetapi parti hanya akan mati apabila ia kehilangan prinsip.

26. Atas sebab itulah, saya hendak berpesan kepada sahabat-sahabat seperjuangan, lebih-lebih lagi buat adik-adik yang baru menyertai keluarga Pemuda UMNO. Bahawasanya, perjalanan Pemuda UMNO tidak pernah mudah. Kita tidak pernah dijanjikan segala￾galanya lancar. Pun begitu, biarpun kita melihat ada tembok besar di hadapan, kita teruskan juga langkah, kita pecahkan tembok itu, kerana kita percaya, di sebalik tembok yang sedang menyekat langkahan kita, terbinanya sebuah jalan yang lebih besar nikmatnya.

27. Jika kita terus menafikan apa yang rakyat dan akar umbi rasakan, maka kita bukan sedang menyelamatkan UMNO tetapi kita sedang melambatkan kejatuhannya. Dan di sinilah Pemuda memilih satu jalan yang tidak mudah. Jalan yang tidak popular. Jalan yang dilihat sunyi. Tapi Pemuda percaya, ini jalan yang terbaik demi Parti.

28. Kerana itu – ketika Konvensyen yang dibuat baru-baru ini, Pemuda UMNO mendesak agar UMNO menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan. Pun begitu, apabila keputusan parti memutuskan tidak menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, Pemuda akur dan hormat. Namun, sejujurnya, kami berpegang kepada satu keyakinan yakni masih belum terlambat untuk menilai dan merenung semula keputusan ini secara matang.

29. Atas semangat itulah, di pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, Pemuda sekali lagi menyuarakan pandangan ini bukan untuk mencabar, tetapi untuk direnungkan dan
dibahaskan secara lebih mendalam oleh para perwakilan.

30. Bagi Pemuda UMNO, kuasa perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO adalah kuasa yang paling tinggi. Dan setiap suara yang lahir daripada perbahasan yang jujur dan beradab, suara itulah yang akan menentukan hala tuju parti ke hadapan.

31. Inilah hasrat Pemuda UMNO. Tidak ada yang lebih utama, melainkan maruah parti dijulang selayaknya.

32. Dan hari ini, saya berani katakan kepada semua ahli UMNO – baik kepada akar umbi, mahupun kepada kepimpinan tertinggi – bahawasanya; Pemuda UMNO tidak berjuang untuk menjadi selesa hari ini, tetapi untuk memastikan perjuangan ini masih bernyawa pada hari esok.

33. Pemuda sedar ia jalan yang sukar, tetapi Pemuda yakin inilah jalan yang tepat. Jalan yang akan membuka pintu yang lebih besar buat masa depan ahli-ahli kita. Saya mahu melihat sahabat-sahabat punya masa depan dalam politik. Disediakan laluan yang jelas dalam politik. Saya mahu kita masuk ke medan perang PRU16 nanti dengan kesiapsiagaan yang ampuh, seterusnya memberi kemenangan yang lebih besar buat parti

PEMUDA WADAH SUARA AKAR UMBI

Sidang Perwakilan yang saya hormati,
34. Pemuda dan akar umbi ibarat isi dan kuku – tidak terpisah, tidak boleh dipisahkan.Kebanyakkan Pemuda UMNO tidak lahir dari rahim kemewahan atau anak-anak
bangsawan; kami datang daripada keluarga marhaen, membesar dalam lorong kepayahan, dan mendewasa di tengah kegetiran hidup yang membentuk jiwa.

35. Hari ini, Pemuda UMNO berdiri bukan atas cerita rekaan, tetapi atas kekuatan yang dibina daripada jerit perih pengalaman yang mematangkan. Kami bukan generasi yang berjalan dengan beg kepit di ketiak, bukan generasi yang menghabiskan waktu melepak sambil menghisap vape di kafe mewah, dan bukan juga generasi yang mencari pengiktirafan di meja-meja glamor.

36. Kami adalah pemuda yang datang dari bawah, hidup bersama rakyat, dan memahami denyut nadi mereka – kerana di situlah kami dibesarkan, dan di situlah kami diajar dan belajar makna berjuang.

37. Pada awalnya, tidak ramai percaya kepada Pemuda UMNO. Dan itu hak mereka.Kepercayaan tidak boleh dipaksa. Ia hanya boleh dibuktikan.

38. Pemuda memilih untuk menjawab keraguan bukan dengan retorik, tetapi dengan keputusan di medan pilihan raya.

39. Buktinya bermula di Nenggiri. Kawasan BERSATU. Negeri PAS. Kawasan yang tiada siapa meletakkan harapan kepada Pemuda UMNO. Namun di lapangan, Pemuda turun
dengan disiplin, strategi dan kerja akar umbi. Keputusannya jelas – kita menang.

40. Kemudian di Mahkota. Ketika itu, Pemuda masih diserang dari dalam dan luar. Apabila isu halal dibangkitkan, ada yang kata berisiko, ada yang kata ini jalan kalah. Pemuda memilih untuk berdiri atas prinsip. Dan rakyat menjawab tanpa ragu – kita menang dengan majoriti besar dan ini antara majoriti terbesar di Johor.

41. Seterusnya di Ayer Kuning. Calon bukan daripada Pemuda, tetapi Pemuda menjadi jentera utama. Sebelum ini, kita hanya menang dua saluran pengundi muda. Dalam pilihan raya ini, hampir semua saluran orang muda kita menangi. Ini bukan kebetulan. Ini hasil kerja.

42. Dan yang paling jelas adalah PRN Sabah. Sekalipun kita dilanda Tsunami Politik di Sabah, tapi daripada enam kerusi Barisan Nasional, Pemuda menyumbang kemenangan penting di Kunak. Kunak ini diletakkan sebagai kerusi Tier 3, iaitu kerusi yang paling tak boleh menang. Tambah lagi Kunak ni kubu kuat Warisan. Kita pertaruhkan Ketua Pemuda Lahad Datu. Bukan calon popular. Bukan etnik majoriti Bajau. Dia bangsa Singh namun dengan kerja keras dan kesatuan jentera, kita menang dengan majoriti besar. Bukan 100, bukan 200 tapi lebih 2000 majoriti.

43. Ini apa sahabat-sahabat semua? Inilah fakta. Ketika Pemuda mengambil alih kepimpinan, kita hanya ada tiga kerusi. Hari ini, dalam tempoh tiga tahun, Pemuda tambah empat lagi kerusi.

44. Dan In Shaa Allah, minggu depan, Pemuda UMNO pertaruhkan seorang lagi calon dari Pemuda iaitu Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, saudara Naim Mokhtar, untuk sama￾sama kita pertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan.

Sahabat-sahabat semua,
45. Ketika parti perlukan kemenangan, Pemuda UMNO yang turun dan menghantar keputusan. Dan sebab itu Pemuda UMNO bercakap hari ini bukan dengan emosi,
tetapi dengan rekod kemenangan.

46. Pun begitu, semua kejayaan ini bukan lesen untuk kami mendabik dada. Tetapi perlu dilihat sebagai sebuah bukti, kita boleh mendapatkan semula kepercayaan rakyat, asalkan kena dengan caranya. Terima kasih Presiden, kerana memberi kepercayaan kepada kami di Pemuda UMNO.

47. Formula Pemuda mudah. Sebagai Pemuda, kami bercakap dari surau kecil, dari warung kopi, dari bendang, dari ladang, dari rumah sewa sempit, dari flat kos rendah, dari keluhan ibu bapa yang bimbang masa depan anak-anak, dan dari suara orang muda yang semakin hilang keyakinan kepada politik.

48. Di Konvensyen Hala Tuju UMNO tempoh hari, saya telah menyebut dengan jelas – Suara akar umbi bukan ancaman kepada parti; ia adalah amaran awal agar parti tidak terpisah daripada rakyat yang membinanya.

49. Pemuda UMNO sedar – jika Pemuda memilih untuk diam, maka siapa lagi yang akan menyampaikan keresahan akar umbi dengan jujur dan berani? Diam bukan tanda setia, diam adalah pembunuh secara senyap.

50. Sebab itu apabila Pemuda bersuara, Pemuda UMNO tidak meminta untuk sentiasa dipersetujui. Apa yang kami tuntut hanyalah ruang untuk bercakap benar, tanpa dilabel sebagai pelampau, tanpa dituduh sebagai pembawa masalah, dan tanpa dipaksa memilih antara keselesaan dan kejujuran.

51. Jika suara ini kedengaran keras, ia bukan kerana Pemuda benci, tetapi kerana Pemuda sayang. Sayang kepada parti yang telah melahirkan kami, sayang kepada perjuangan yang diwariskan kepada kami, dan sayang kepada masa depan UMNO yang tidak boleh dibina di atas kepura-puraan.

52. Kerana rasa sayang inilah, Pemuda UMNO tidak memilih jalan menjadi pencacai, apatah lagi penjilat tegar demi kepentingan diri sendiri. Pemuda sedar bahawa kepentingan parti sentiasa lebih besar daripada kepentingan individu.

53. Dan atas kesedaran ini jugalah, sehingga ke hari ini, Pemuda UMNO tidak pernah memilih jalan lompat parti, dan tidak pernah juga mengambil sikap mendesak Presiden untuk meletakkan jawatan. Bukan kerana takut, tetapi kerana kami memahami erti disiplin, adab dan penghormatan kepada institusi.

54. Dan selagi Pemuda UMNO berpaut pada tanggungjawab, selagi itulah kami akan terus menjadi wadah suara akar umbi; bukan untuk meruntuhkan parti, walaupun kami dituduh sebagai ejen H20, ejen PAS, ejen PN, ejen Bersatu, orang Mail – bukan. Yang kami lakukan hanyalah untuk memastikan UMNO kembali tegak di atas asas yang benar.

PEMUDA DAN MUSUH YANG NYATA
Para pejuang bangsa sekalian,
55. Pemuda UMNO hari ini berdepan tekanan yang tidak lagi berselindung. Tekanan supaya kita diam. Tekanan supaya kita akur. Tekanan supaya kita ‘ikut sahaja’, walaupun akar umbi sudah lama resah dan marah.

56. Tetapi Pemuda UMNO bukan dilahirkan untuk menjadi penonton. Dan perjuangan ini tidak dibina atas sikap tunduk dan takut.

57. Dalam politik, kita ada keimanan. Keimanan inilah yang membentuk akidah politik kita. Ia menentukan siapa kawan, dan siapa musuh yang nyata.

58. Hari ini, Pemuda UMNO perlu jujur menyebut perkara yang ramai tahu tetapi tidak semua berani lafazkan: Musuh yang nyata itu WUJUD dan musuh itu berada dalam pasukan yang ada dalam Kerajaan hari ini.

59. Musuh itu bukan sekadar berbeza pandangan. Musuh itu berulang kali mencabar perkara asas Melayu dan Islam. Mereka menyentuh isu agama, mereka mempersoalkan institusi, mereka memperlekeh simbol, dan setiap kali orang Melayu bangkit mempertahankan diri, kitalah yang dituduh melampau.

60. Pemuda UMNO tidak pernah mencari pergaduhan dengan Musuh itu. Tetapi kita juga tidak akan berdiam diri apabila prinsip dan maruah dipijak.

61. Isu kalimah Allah pada stokin; yang Pemuda UMNO lawan ialah KK Mart, tetapi MEREKA yang tampil menyelar Pemuda.

62. Isu halal; yang Pemuda UMNO persoalkan ialah pencabulan sensitiviti umat Islam, tetapi MEREKA juga yang marah Pemuda.

63. Isu bendera terbalik; yang Pemuda UMNO perangi ialah si pelaku yang menghina maruah negara, tetapi MEREKA yang buat laporan polis kepada Pemuda.

64. Kemudian datang lagi isu arak di majlis rasmi, isu tuntutan UEC, isu mempersendakan nasib pemimpin kami, apa lagi selepas ini? Dan sehingga ke hari ini, masih tiada langsung permohonan maaf dari YB Puchong!

65. Mereka mencuit api sensitiviti, kemudian pura-pura terkejut apabila orang Melayu marah. Ini bukan salah faham. Ini bukan kebetulan. Ini adalah pola berulang yang disengajakan.

66. Mereka terus ulang dan ulang lagi, dan kita nak cakap “CUKUPLAH; LU ORANG MAHU APA SEBENARNYA?”

67. Kamu semua mempertahankan penghinaan terhadap Islam dan Melayu – itu sudah cukup untuk menjelaskan siapa musuh Pemuda UMNO.

68. Keimanan dalam politik mengajar kita satu perkara yang jelas: ada garis yang tidak boleh dilintasi. Dan garis itu telah dilanggar secara terang-terangan. Bukannya kita tak husnuzon, tahun pertama kita dah gariskan apa yang boleh dielpasi.

69. Sebab itu bila Pemuda UMNO bersuara, jangan ajar kami tentang sopan. Jangan cakap kami ‘racist’, jangan tuduh kami ‘extreme. Kami tahu apa yang kami buat. Pertahankan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan bukannya racist, tapi yang mempertikaikan Perlembagaan, itulah yang sebenarnya racist!

70. Dan jika DAP benar-benar mahu bermusuh, jangan berselindung di balik kuasa, jangan bermain dua wajah, jangan mencabar kemudian berpura-pura menjadi mangsa.

71. Mari kita berhadapan secara terbuka. Secara berprinsip. Dan secara berani. Pemuda UMNO tidak akan berundur walau satu langkah untuk pertahankan
bangsa, agama dan Raja-raja!

PEMUDA PENGGERAK PENYATUAN MELAYU
72. Hari ini, keresahan orang Melayu sangat jelas. Perpaduan terancam, agama Islam dan institusi Raja tercabar, ekonomi tertekan, bahasa tercemar dan pendidikan terpinggir.

73. Keresahan seperti ini tidak boleh dijawab dengan slogan, tidak boleh ditenangkan dengan kosmetik politik, dan tidak boleh disenyapkan dengan arahan supaya “bersabar”.

74. Ia menuntut kepimpinan Melayu – khususnya UMNO – untuk kembali mendengar, kembali memahami denyut nadi rakyat, dan kembali memimpin dengan kejelasan prinsip.

75. Atas keresahan inilah, Pemuda UMNO percaya bahawa asas untuk menangani keresahan ini hanyalah dengan sebuah Penyatuan Orang Melayu. Perkara ini telah pun saya huraikan dengan panjang lebar ketika Konvensyen lepas.

76. Pun begitu, dalam kepercayaan ini, Pemuda UMNO lebih percaya bahawa Penyatuan Melayu yang ingin digerakkan UMNO – wajib lahir dari sebuah keinsafan dan
keberanian untuk bermula dari dalam.

77. Dan dalam soal penyatuan, Pemuda UMNO berpegang kepada satu prinsip yang jelas: UMNO mesti kuat dan menyatu dari dalam terlebih dahulu, sebelum kita mampu
menjadi penggerak kepada penyatuan Melayu yang lebih besar.

78. Atas semangat inilah, secara terbuka dan penuh hormat, saya mewakili Pemuda UMNO ingin memohon kepada Presiden dan seluruh pucuk pimpinan parti: sudah-sudahlah kita bertelagah sesama sendiri. Parti ini terlalu besar, terlalu bersejarah untuk terus dibebani luka lama yang tidak disembuhkan.

79. Saya dengan penuh kerendahan hati memohon agar pintu UMNO dibuka semula seluas-luasnya kepada mereka yang masih lagi sayang kepada perjuangan UMNO walaupun
mereka ini pernah dibuang, sedang digantung, atau meninggalkan parti akibat perbezaan masa lalu. Malah ada yang masih tidak menyertai mana-mana parti, bukti betapa kasih dan setianya mereka pada wadah perjuangan UMNO.

80. Perbezaan itu lumrah, perselisihan itu fitrah. Tetapi parti besar dinilai pada kebesaran jiwanya. UMNO hanya akan kembali kuat apabila kita berani memaafkan dan menyatu semula. Parti yang yakin dengan kekuatannya tidak takut kepada suara jujur, tidak gentar kepada kepulangan sesiapa, dan tidak goyah kerana perbezaan pandangan. Parti yang berpecah tidak punya kekuatan untuk menyatukan orang lain.

81. Penyatuan Melayu mesti bermula dengan penyatuan UMNO. Letakkan ego di tepi, dan angkat parti ini dengan satu jiwa. Jangan biarkan sejarah mencatat UMNO rebah kerana kita gagal berdamai di dalam.

82. Menyatukan bangsa tidak pernah mudah. Siapa yang menyangka bangsa boleh disatukan dengan singkat, sebenarnya tidak belajar daripada sejarah. Rasulullah mengambil 13 tahun di Makkah membina jiwa sebelum negara ditegakkan, dan selepas hijrah pun Baginda masih terpaksa mendamaikan Aus dan Khazraj yang hampir 120 tahun bermusuhan.

83. Bangsa Melayu juga belajar dengan harga sejarah yang mahal. Melaka tidak rebah kerana meriam Portugis, tetapi kerana perpecahan dan khianat dari dalam. Penjajah tidak mencipta perpecahan; mereka hanya mengambil kesempatan.

84. Sebab itu, kita tidak boleh memilih jalan paling popular – kita wajib memilih jalan paling bertanggungjawab. Jika perpecahan memberi untung kepada segelintir, penyatuanlah yang menyelamatkan bangsa untuk ratusan tahun akan datang.

85. Dari ibrah sirah dan sejarah, kita belajar satu perkara – bangsa yang berpecah sentiasa mudah ditundukkan, walau besar jumlahnya, walau kaya tanahnya. Atas rasional inilah, saya menggagaskan idea “Tekad Ummah” yang dimulakan dengan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan PAS, tanpa menutup pintu kepada penyertaan pihak-pihak lain.

86. Tujuan saya menggagaskan “Tekad Ummah” ini bukan untuk meraih saham politik. Tapi atas satu tindak balas kepada kebiadapan DAP. Satu tindak balas untuk menyatakan “cukup-cukup sudah kita dibuli dan dikhianati”. Sudah tiba masanya Melayu benar-benar serius bergerak ke arah sebuah penyatuan.

87. Saya tahu, menjayakan “Tekad Melayu” ini bukan kerja mudah. Ada harga yang besar untuk dibayar, ada pengorbanan yang dituntut. Dan akan ada tekanan daripada pelbagai arah. Tetapi sejarah mengajar kita satu perkara – tiada penyatuan besar lahir daripada zon selesa. Jika kita benar-benar serius mahu menyatukan Melayu, maka kita mesti bersedia memikul risikonya, bukan sekadar bercakap mengenainya.

88. Saya faham, apabila PAS dijemput bersama dalam penyatuan ini, ada akar umbi yang masih resah, mengingati luka-luka lama. Itu perasaan yang jujur, dan saya
menghormatinya. Namun perjuangan menuntut jiwa yang lebih besar, bukan untuk mengungkit luka lama, tetapi untuk mengelakkan luka baharu yang lebih merugikan
ummah. Jika dengan musuh yang nyata sejak sebelum Merdeka pun kita mampu berlapang dada, masakan dengan yang sesama bangsa dan agama kita memilih untuk terus
berpecah.

89. Sebab itu Pemuda UMNO tidak mahu Tekad Ummah ini kekal sebagai wacana atau slogan. Pemuda UMNO mahu ia diterjemahkan kepada tindakan. Kita akan membuka ruang seluas-luasnya, menjemput semua pihak tanpa mengira parti politik, latar belakang, atau sejarah silam untuk duduk semeja, bercakap secara jujur, dan
mencari titik persamaan demi masa depan umat dan bangsa.

90. Dan sebagai langkah nyata ke arah itu, Pemuda UMNO akan menjadi penggerak utama menganjurkan Himpunan Tekad Ummah. Satu himpunan besar yang menghimpunkan
parti-parti politik Melayu, NGO, ahli akademik, pemikir, dan seluruh kelompok masyaraka yang berkongsi satu objektif iaitu merealisasikan penyatuan Ummah
sebagai agenda nasional. Ini bukan himpunan kebencian. Ini himpunan kesedaran. Dan Pemuda UMNO bersedia memimpin langkah ini, dari hadapan.

PENUTUP
91. Dalam setiap zaman, akan ada saat di mana sebuah parti perlu berhenti bercakap tentang orang lain dan mula bercakap dengan jujur kepada dirinya sendiri.

92. Hari ini bukan tentang siapa betul atau siapa salah. Hari ini tentang siapa yang berani memikul tanggungjawab apabila sejarah sedang memerhati.

93. UMNO telah melalui fasa menang yang panjang, dan juga fasa jatuh yang menyakitkan. Tetapi parti ini tidak dibina untuk hidup atas nostalgia, dan tidak juga dicipta untuk mati kerana rasa alpa.

94. Jika hari ini kita memilih jalan yang sukar, itu bukan kerana kita keras kepala, tetapi kerana kita enggan mewariskan masalah yang kita takut selesaikan.

95. Ini bukan masa untuk ragu. Ini bukan masa untuk bersembunyi. Dan ini bukan masa untuk UMNO bercakap perlahan.

96. Kita tidak dibesarkan untuk mengira selamat, kita dibesarkan untuk memikul tanggungjawab. Kita tidak dilatih untuk mencari alasan, kita dilatih untuk mencari jalan.

97. Hari ini, Pemuda UMNO tidak datang dengan janji kosong. Kami datang dengan tekad. Tekad Ummah bukan slogan. Tekad Ummah adalah keputusan. Keputusan untuk tidak lagi berpecah. Keputusan untuk tidak lagi takut. Keputusan untuk tidak lagi menyerahkan masa depan bangsa kepada keraguan.

98. Hari ini, Pemuda UMNO berdiri dan berkata dengan jelas :
Jika Ummah mahu kuat, kita mesti bertekad.
Jika UMNO mahu bangkit, kita mesti bertekad.
Jika masa depan bangsa ini mahu dipertahankan,
Tekad Ummah tidak boleh goyah walau seinci.

99. Hari ini, saya berdiri di hadapan sahabat-sahabat semua bukan sebagai seorang yang gagah, tapi saya berdiri sebagai seorang hamba yang sedang bermuhasabah.

100. UMNO perlu bertekad untuk buang “denial syndrome”.
UMNO perlu bertekad untuk kembali menjernih dari dalam.
UMNO perlu bertekad menentang musuh nyata.
Ini Tekad kita
Ini Tekad Pemuda
Ini Tekad Melayu.
Ini Tekad Islam.
Ini Tekad Ummah

101. Dan jika suatu hari nanti, orang bertanya kenapa Pemuda UMNO memilih lantang berdiri ketika lebih mudah duduk berdiam, dengan penuh bermaruah kita jawab –

“KERANA INI TANGGUNGJAWAB KITA,
“KERANA INI RUMAH KITA,
“KERANA INI KITA MASIH DI SINI,
“KERANA SUDAH TIBA MASANYA, SEGALANYA BERMULA DI SINI”.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO