Tumpu Dan Fokus Ke Depan, Hadapi Cabaran Politik – Hafiz
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menegaskan keperluan untuk seluruh saf Pemuda UMNO terus bersatu dan fokus menghadapi beberapa siri pilihan raya yang bakal ditempuh menjelang penghujung penggal 2023–2026.
Berucap ketika membentangkan laporan pergerakan itu pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, beliau berkata perjalanan perjuangan parti ketika ini bukanlah mudah memandangkan UMNO masih dalam proses membina semula kekuatan di tengah-tengah dinamik politik yang semakin mencabar.
“Kita sudah menghampiri hujung penggal 2023–2026. Sebelum kita mengakhiri perkhidmatan kita kepada institusi ini, kita perlu bertempur dalam beberapa lagi siri pilihan raya. Dalam keadaan parti masih membina semula kekuatan, jalan ke hadapan amat mencabar.
“Situasi kita ibarat telur di hujung tanduk, bila-bila masa sahaja boleh jatuh dan pecah,” katanya.
Perhimpunan Agung Pemuda UMNO berlangsung hari ini dengan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh.
Menurut Hafiz, dalam masa yang sama Pemuda UMNO juga dituntut untuk bergerak dengan penuh kebijaksanaan dan berhati-hati dalam setiap langkah agar tidak menjejaskan kestabilan dalaman parti.
“Kita juga dituntut untuk lebih berjaga-jaga dalam setiap langkah, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Bayangkan kita perlu mengoperasikan perjuangan dalam dua keadaan perumpamaan ini. Bukankah sukar hidup dan berjuang dalam keadaan sebegini?
“Oleh itu, kita mesti membulatkan tekad, merapatkan saf dan terus berganding bahu, bukan saling menikam dan membunuh antara satu sama lain,” tegas beliau.
Beliau menegaskan Pemuda UMNO tidak pernah berputus asa atau gentar dalam meneruskan perjuangan, malah kekal berpegang teguh kepada asas perjuangan teras parti selari dengan tuntutan membangunkan dasar negara.
“Kita mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera daripada terus digugat. Isu-isu berkaitan sijil halal, Jalur Gemilang serta beberapa hal konvensyen yang berlaku baru-baru ini bukan episod politik atau serangan kepada mana-mana individu.
“Jauhi tanggapan bahawa Pemuda UMNO bersifat rasis seperti pelbagai tuduhan yang dilemparkan. Ini adalah tanggungjawab UMNO dan Pemuda untuk mempertahankannya,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz turut membentangkan statistik keahlian aktif Pemuda UMNO setakat kemas kini terakhir Disember 2025, dengan jumlah keseluruhan seramai 401,667 orang ahli di seluruh negara.
Bagi tahun 2025, Johor mencatatkan peningkatan keahlian tertinggi sebanyak 5.15 peratus, meningkat daripada 47,378 orang ahli kepada 50,638 orang ahli. Sabah berada di tempat kedua dengan pertambahan 2,255 ahli, diikuti Perak di tempat ketiga dengan 2,111 ahli baharu.
“Syabas dan tahniah kepada saudara-saudara atas usaha keras dalam memainkan peranan penting pengkaderan ahli-ahli baharu UMNO,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan dan ahli Pemuda UMNO agar memberi perhatian serius terhadap peralihan keahlian melibatkan cohort umur yang menghampiri 40 tahun.
“Dalam tahun ketiga sesi Pemuda UMNO 2023–2026, kita sudah mula melihat peralihan keahlian semakin ketara. Setiap cawangan perlu memandang serius perkara ini.
“Kita perlu membendung penyusutan ahli daripada jatuh mendadak. Pemuda UMNO mesti pantas bekerja dan rajin dalam proses merekrut ahli-ahli baharu,” katanya lagi.
Turut menarik tumpuan kehadiran mantan Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Raif Yusoh serta pimpinan UMNO lain turut hadir memeriahkan perhimpunan agung berkenaan. – UMNO Online
