Pesanan Tok Mat Perkukuh Arah Tuju UMNO Menjelang PRU-16 – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyifatkan ucapan perasmian serentak oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) malam tadi, sebagai satu pesanan penting yang memberi hala tuju jelas kepada usaha pengukuhan UMNO di semua peringkat.

Menurut beliau, ucapan tersebut mencerminkan keberanian kepimpinan parti untuk berterus terang mengenai cabaran sebenar yang dihadapi UMNO, termasuk keperluan membina semula kepercayaan rakyat dan memperkukuhkan kekuatan akar umbi.

“Apa yang disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO bukan sekadar peringatan, tetapi satu pelan penyatuan dan pengukuhan parti. UMNO dituntut untuk kembali kukuh dengan disiplin, strategi dan kesatuan, bukan emosi,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Zaidy berkata, penekanan terhadap peranan UMNO sebagai parti yang bertanggungjawab dalam menjamin kestabilan negara wajar difahami oleh seluruh ahli sebagai satu bentuk kematangan politik yang perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi.

Beliau turut menyambut baik penegasan agar Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO digerakkan secara lebih berfokus dan tersusun bagi mendekati rakyat, khususnya golongan muda, serta menangani isu ekonomi dan kehidupan seharian masyarakat.

“Pengukuhan UMNO mesti bermula dari bawah. Jentera parti perlu lebih dekat dengan rakyat, mendengar denyut nadi mereka dan tampil sebagai penyelesai masalah, bukan sekadar pemain politik bermusim,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO agar bersatu padu, memperkemaskan gerak kerja parti dan menjadikan amanat Timbalan Presiden sebagai panduan utama dalam menghadapi PRU-16.

“Jika kita bergerak seiring dengan hala tuju ini, UMNO akan kembali diyakini sebagai parti yang stabil, berpengalaman dan mampu memimpin negara,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO