Perwakilan PAU 2025 Hadir Bawa Semangat Perjuangan Demi A,Ba,Ta

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini bermula dengan lancar dan teratur di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) apabila persidangan Wanita, Pemuda, Puteri bermula sementara perwakilan untuk PAU 2025 mula berdaftar pada pagi ini, melibatkan perwakilan dari seluruh negara.

Pendaftaran tersebut melibatkan perwakilan PAU yang akan menyertai persidangan pada 16 dan 17 Januari ini melibatkan seramai 2,928 perwakilan.

Tinjauan di lokasi mendapati perwakilan hadir seawal jam 9.00 pagi untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum memasuki dewan persidangan, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi ahli parti terhadap perhimpunan tahunan tersebut.

Semasa pendaftaran, perwakilan turut dibekalkan dengan beg yang mengandungi bahan berkaitan agenda perhimpunan untuk memastikan kelancaran perjalanan persidangan.

PAU 2025 dijadual berlangsung dari 14 sehingga 17 Januari ini menjadi medan penting untuk perwakilan membahaskan usul, menyuarakan pandangan dan merangka hala tuju parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Perhimpunan ini turut dilihat sebagai platform penyatuan ahli parti serta memperkukuh tekad UMNO untuk terus relevan dan berperanan dalam landskap politik negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO