Perhimpunan Agung UMNO Medan Penyatuan Fikrah – Musliati

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Wanita UMNO, Musliati Moslimin menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2025 sebagai medan penyatuan fikrah dalam kalangan ahli serta kepimpinan parti di semua peringkat.

Menurut beliau, perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara lumrah yang harus dilihat secara positif kerana ia mampu menjadi kekuatan untuk memperkukuhkan lagi perjuangan UMNO dalam berdepan pelbagai cabaran masa kini.

“Perhimpunan Agung UMNO inilah platform terbaik untuk kita memperkasakan langkah perjuangan dan memperteguhkan semangat kesetiaan demi masa depan parti,” ujarnya.

Musliati yang juga Ketua UMNO Kota Kinabalu seterusnya berkata, ahli parti termasuklah Wanita UMNO perlu terus berpegang kepada semangat kebersamaan dan disiplin organisasi agar kekuatan parti dapat dikekalkan dalam apa jua situasi.

Beliau turut menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO harus peka terhadap perubahan semasa, terutama dalam dunia digital yang kini menjadi medan utama dalam membentuk persepsi rakyat terhadap parti.

“Kita mesti berani berubah seiring dengan arus semasa. Dunia digital memberi ruang yang luas untuk kita menyampaikan mesej perjuangan UMNO kepada masyarakat, khususnya golongan muda. Jangan kita ketinggalan,” tambahnya.

Musliati turut menyeru agar setiap perwakilan menjadikan Perhimpunan Agung 2025 ini sebagai titik permulaan baharu untuk memperkukuh solidariti, menolak sebarang perpecahan dan memperhebatkan usaha mendekati rakyat di akar umbi.

“Kesetiaan dan keikhlasan adalah nadi kekuatan UMNO. Jika kita bersatu hati, insya-Allah perjuangan ini akan terus subur dan parti akan terus kekal relevan di hati rakyat,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menegaskan Wanita UMNO akan terus memainkan peranan penting sebagai benteng dan nadi kekuatan parti, memastikan semangat perjuangan terus diwarisi oleh generasi muda sambil memelihara warisan perjuangan yang telah dibina sejak sekian lama. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO