Pemuda UMNO Johor Cadang Tiga Insentif TVET Strategik: Maritim, EV Dan Halal
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Pemuda UMNO Tebrau, Fauzi Faizal mencadangkan agar kerajaan Negeri Johor memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) melalui penubuhan tiga institusi strategik baharu – TVET Maritim dan Pelabuhan, TVET Teknologi EV (Kenderaan Elektrik) dan TVET Halal.
Beliau menegaskan bahawa Johor kini merupakan negeri strategik maritim negara dengan empat pelabuhan utama bertaraf antarabangsa iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (Iskandar Puteri), Pelabuhan Tanjung Langsat (Tebrau), Pelabuhan Johor (Pasir Gudang) dan Pelabuhan Maharani (Muar).
“Persoalannya, siapa yang akan mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di pelabuhan-pelabuhan ini? Adakah anak tempatan Johor, atau tenaga kerja asing?” soal beliau.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Johor mencadangkan agar sebuah Institut TVET Maritim dan Pelabuhan diwujudkan dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor, merangkumi bidang operasi dan pengurusan pelabuhan, logistik dan rantaian bekalan, kejuruteraan marin, keselamatan pelabuhan serta perkapalan.
“Kita tidak mahu anak Johor sekadar menjadi buruh kasar di negeri sendiri sedangkan jawatan teknikal dan profesional diisi oleh pihak lain,” katanya.
Selain itu, Fauzi turut mencadangkan agar pendidikan TVET dalam bidang teknologi kenderaan elektrik (EV) diperkasakan selaras dengan perubahan pesat industri automotif global.
Beliau menegaskan, Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi ‘Lembah EV’ terbesar negara berikutan kedudukannya yang strategik dan sokongan infrastruktur industri sedia ada.
“Industri automotif berubah, teknologi berubah, dan pendidikan kita juga mesti berubah. Jika kita gagal melatih anak muda kita hari ini, peluang masa depan ini akan diambil oleh pihak lain. Ingat, setahun kita lalai, sepuluh tahun kita ketinggalan,” tegasnya.
Ujarnya, cadangan itu merangkumi kejuruteraan bateri, sistem pengecasan, perisian automotif pintar dan tenaga hijau.
Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan penubuhan Institusi Pendidikan TVET Halal, berasaskan keperluan tenaga mahir dalam sektor ekonomi halal yang kini berkembang pesat.
Beliau merujuk kepada pelaburan halal bernilai RM10 bilion yang dibawa oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama EXCO Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid hasil lawatan rasmi ke China baru-baru ini.
“Halal itu perlu disokong oleh TVET Halal! Siapa yang nak sembelih, siapa nak uruskan daging, pembungkusan, simpanan dan penghantaran? Semua ini memerlukan latihan berasaskan halal dan patuh syariah,” ujarnya.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar TVET Halal memberi tumpuan kepada latihan penyembelihan berstandard antarabangsa, pembungkusan dan logistik halal, pensijilan halal serta pengurusan rantaian bekalan halal.
“Kita mahu melahirkan tenaga kerja muda yang bukan sahaja mahir, tetapi juga memahami nilai, integriti dan syariat dalam industri halal. UMNO mesti menjadi juara dalam transformasi TVET Halal ini,” katanya.- UMNO Online
