Parti Perlu Beri Kata Putus Had Umur Puteri UMNO – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menggesa parti segera memberi kata putus mengenai permintaan mereka yang sering diutarakan agar dinaikkan had umur ahli Puteri.
Kata Nurul Amal, menaikkan had umur Puteri daripada 35 tahun ke 40 tahun adalah bagi memastikan pelapis yang telah dilatih dalam Puteri tidak hilang begitu sahaja apabila mereka meningkat usia kelak.

“Oleh itu, kami ingin mengekalkan bakat-bakat ini sebagai aset parti dan permata kepimpinan, supaya pengalaman mereka terus memberi manfaat kepada parti dan generasi pemimpin seterusnya. Langkah ini bukan sahaja menjaga kesinambungan, tetapi juga mengurangkan kerugian besar kepada parti.
“Maka dengan penuh hormat, namun tegas, Puteri UMNO mengharapkan agar perkara ini tidak lagi sekadar didengar, tetapi dipertimbangkan dan diputuskan dengan sewajarnya demi masa depan parti yang kita cintai. Ini bukan soal legasi. Tapi tentang survival Puteri,” katanya.
Nurul Amal berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Puteri di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah; dan Datuk Seri Ahmad Ismail serta barisan kepimpinan Puteri UMNO.
Dalam ucapannya, Nurul Amal juga memberi komitmen bahawa Puteri UMNO akan terus memastikan suara wanita muda bukan sekadar didengar, tetapi diambil serius dalam menentukan masa depan negara.
Ujarnya, Puteri menggesa kerajaan agar mekanisme perlindungan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan diperkukuh bagi menangani semua bentuk diskriminasi di tempat kerja, agar setiap aduan ditangani secara adil, telus dan selamat tanpa risiko balas dendam terhadap pengadu.
Begitu juga memperjuangkan penglibatan 30 peratus wanita dalam pentadbiran dan politik di negara ini. – UMNO ONLINE
