Perak Salur RM2.3 Juta Perkukuh Program Pemerkasaan Pendidikan – Saarani
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Kerajaan Negeri Perak melalui kerjasama strategik Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak terus komited memperkasa pendidikan dengan pelaksanaan pelbagai program berfokus sepanjang tahun ini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM2,336,250.00.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, sepanjang tahun lepas, usaha ini telah memberi manfaat kepada puluhan ribu murid dari ratusan sekolah bukan sahaja dari segi akademik, malah melibatkan pembangunan murid serta pendidikan Islam.

“Antara inisiatif utama ialah Program Perak One Third High, yang melibatkan lebih 28,000 calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dari 255 sekolah, dengan fokus kepada intervensi akademik dan peningkatan kadar kelulusan SPM.
“Usaha ini turut diperluaskan melalui program Propulih dan Propulih 2.0 yang telah membantu lebih 3,600 murid mengatasi isu literasi asas danProgram Red Flag Risiko Cicir (RFRC) melibatkan 7,555 pelajar berisiko di 72 buah sekolah bagi mengurangkan risiko keciciran,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu dalam satu perkongsian di Facebook.
Tambah Saarani lagi, ia turut merangkumi Program Kecemerlangan Pendidikan Islam, yang memberi manfaat kepada puluhan ribu murid melalui tuisyen, bengkel dan seminar bagi memperkukuh pencapaian akademik serta pembentukan sahsiah.
“Hasratnya cuma satu. Supaya tiada anak Perak yang tercicir dan setiap daripada mereka diberi peluang, sokongan serta ruang untuk berjaya.
“Semoga usaha bersepadu ini terus menjadi asas kukuh dalam membina modal insan berkualiti, selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” katanya. – UMNO ONLINE
