UMNO Iskandar Puteri Tekankan Fokus Khidmat Rakyat Dalam Retreat 2026
ISKANDAR PUTERI, 13 Jan – Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik menegaskan agar seluruh kepimpinan dan ahli parti di peringkat bahagian terus memberi fokus kepada khidmat membantu komuniti, berjuang dengan penuh keikhlasan serta memastikan setiap program yang dirancang melibatkan pelbagai peringkat dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri sempena Retreat UMNO Bahagian Iskandar Puteri 2026 yang telah berjaya dilaksanakan semalam dengan penuh komitmen dan semangat kebersamaan.
Dalam ucapannya, Mohammad Khairi turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang sentiasa membela nasib rakyat melalui pelbagai inisiatif dan bantuan berterusan, khususnya Bantuan Kasih Johor yang turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Parlimen Iskandar Puteri.
Beliau berharap segala usaha yang dilaksanakan dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan jentera parti serta memperkukuhkan khidmat bakti kepada rakyat pada tahun-tahun mendatang.
Program retreat berkenaan dimulakan dengan Bengkel Pemantapan yang melibatkan penyertaan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Ketua-ketua Kampung serta Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Bengkel tersebut dipengerusikan sendiri oleh Datuk Mohammad Khairi A. Malik.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Hj. Pandak Ahmad, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Radin Seri Kartini Abdullah serta Ketua Wanita UMNO Bahagian dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri.
Sepanjang bengkel, para peserta membincangkan perancangan program, strategi serta hala tuju gerakan parti bagi tahun 2026.
Kemuncak program pada sebelah malam menampilkan Amanat Ketua UMNO Bahagian 2026, diikuti sesi dialog terbuka bersama Ketua-ketua Cawangan UMNO Bahagian Iskandar Puteri serta penyampaian peruntukan kepada sayap-sayap dan cawangan mengikut keperluan masing-masing. – UMNO Online
