UMNO Johor Pertahan Bantuan Kasih Johor, Sifatkan Kritikan Pejuang Tidak Berasas
JOHOR BAHRU, 12 Jan – UMNO Johor menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Ketua Penerangan Pejuang Johor yang melabelkan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) sebagai budaya “cash is king”, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai satu bentuk pemutarbelitan fakta serta gagal memahami realiti tekanan kos sara hidup rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, BKJ merupakan dasar rasmi Kerajaan Negeri Johor yang diluluskan melalui Belanjawan Negeri dan dirangka secara bersasar berdasarkan data serta mekanisme pengesahan yang telus.

“BKJ bukan keputusan populis, bukan bersifat bermusim dan jauh sekali menjadi alat politik seperti yang cuba digambarkan. Menuduh dasar kebajikan kerajaan sebagai helah politik hanyalah naratif mudah pihak yang ketandusan idea serta rekod pencapaian,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Menurut beliau, UMNO Johor turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menjadikan bantuan tunai sebagai satu-satunya penyelesaian kepada isu kemiskinan atau kesejahteraan rakyat.
“BKJ adalah langkah sokongan segera bagi meringankan tekanan rakyat, sementara kerajaan terus melaksanakan agenda jangka panjang melibatkan penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pelaburan bernilai tinggi serta pembangunan ekonomi mampan,” jelasnya.
Beliau menambah, dakwaan bahawa bantuan tersebut akan mewujudkan kebergantungan disifatkan sebagai retorik elitis yang terpisah daripada realiti sebenar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan keluarga rentan.
“Hakikatnya, maklum balas daripada penerima di seluruh Johor menunjukkan BKJ telah membantu meringankan beban isi rumah. Mudah bercakap soal ‘beri joran bukan ikan’, namun rakyat memerlukan sokongan segera sebelum mampu berdiri lebih kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tadbir urus Kerajaan Negeri Johor kekal berteraskan kehematan fiskal, ketelusan dan tanggungjawab, dengan lebihan fiskal negeri bukan sahaja disalurkan kepada kebajikan rakyat tetapi juga kepada pembangunan infrastruktur, penarikan pelaburan strategik dan pengukuhan asas ekonomi negeri.
“UMNO Johor berpendirian bahawa tidak semua perkara wajar dipolitikkan, lebih-lebih lagi dasar kebajikan yang jelas memberi manfaat kepada rakyat dan menyokong kestabilan negeri,” katanya.
Tambah beliau, rakyat Johor memerlukan dasar yang realistik, kepimpinan bertanggungjawab serta keupayaan mentadbir dengan empati, bukannya sindiran sarkastik atau retorik kosong. – UMNO Online
