PRK: Gerak Kerja Strategik UMNO Beaufort Pastikan Calon BN Beroleh Kejayaan

SANDAKAN, 12 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan komitmen penuh jentera Barisan Nasional (BN) Beaufort dalam memperkukuhkan gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung selama 14 hari ini.

Menurut beliau, BN Beaufort telah diberikan tanggungjawab khusus untuk membantu kempen di PDM Batu Putih, selaras dengan strategi menyeluruh bagi memastikan jentera parti bergerak secara tersusun, berdisiplin dan berkesan di peringkat akar umbi.

“Sepanjang tempoh kempen ini, fokus utama kita adalah memperkemaskan gerak kerja di PDM, termasuk lawatan rumah ke rumah, sesi penerangan kepada pengundi serta memastikan semua jentera berada dalam keadaan siap siaga,” katanya kepada UMNO Online selepas tinjauan gerak kerja jentera di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara jentera BN Beaufort dan Parlimen Kinabatangan akan membuahkan hasil positif, khususnya dalam memastikan kemenangan calon BN Parlimen Kinabatangan, Naim Kurniawan Bung Moktar, pada hari pengundian yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari nanti.

“Semoga kerjasama ini akan menghasilkan keputusan yang cemerlang di PDM Batu Putih dan seterusnya menyumbang kepada kemenangan keseluruhan BN di Parlimen Kinabatangan,” ujarnya.

Awang Aslee turut menekankan bahawa semangat kebersamaan dan kesepaduan pasukan menjadi faktor utama kejayaan kempen PRK kali ini.

Katanya, kehadiran jentera dari luar kawasan bukan sahaja membantu dari segi tenaga kerja, malah menyemarakkan lagi semangat seluruh jentera tempatan.

“Insya-Allah, dengan kesepakatan, disiplin dan kerja berpasukan yang mantap, kita mampu mencapai kemenangan yang diharapkan. Setiap jentera memainkan peranan penting, tidak kira besar atau kecil sumbangannya.”

Katanya, PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag ini dilihat sebagai medan penting bagi BN untuk mengukuhkan sokongan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, selain menjadi ukuran keberkesanan gerak kerja parti dalam mendekati pengundi secara langsung.

“Kempen PRK akan terus dipergiatkan dengan pelbagai program turun padang, sesi ramah mesra bersama penduduk serta penyampaian mesej perjuangan parti demi memastikan aspirasi rakyat Kinabatangan terus diberi keutamaan,” katanya lagi.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 23 Januari, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari dan pengundian awal 20 Januari. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO