PN Terjebak Konflik Dalaman, Goyah Dengan Pertembungan Kepentingan

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop menyifatkan Perikatan Nasional (PN) ketika ini berdepan krisis dalaman serius susulan pertembungan kepentingan dalam kalangan kepimpinan parti gabungan tersebut.

Menurut beliau, kemelut yang berlaku bukan sekadar perbezaan pendapat tetapi melibatkan perebutan kuasa yang mengancam kestabilan kerajaan negeri yang mereka terajui seperti yang terjadi di Perlis.

“Keadaan yang berlaku di Perlis, menunjukkan persefahaman yang goyah serta pertelingkahan antara parti-parti dalam gabungan PN sehingga menyebabkan pertukaran kepimpinan Kerajaan Negeri Perlis dengan cara bukan atas persetujuan bersama.

“Wujudnya pertembungan kepentingan kepimpinan dalam PN yang tidak dapat diselesaikan secara muafakat yang telah menyebabkan perebutan kuasa yang akhirnya membuahkan ketidakstabilan tadbir urus kerajaan dan akhirnya mengelirukan serta meresahkan rakyat .

“Kepimpinan PN telah gagal menguruskan perbezaan serta pertembungan kepentingan antara parti-parti gabungan dan tidak menghiraukan hanya mementingkan siapa yang lebih berkuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat yang dipimpin walaupun hanya dua tahun lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya ketika dihubungi UMNO Oniline.

Mengulas lanjut, katanya lagi, ia jelas berbeza dengan pendekatan UMNO yang kekal berpegang kepada prinsip kestabilan politik dan keharmonian nasional sebagai asas utama dalam berperanan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, UMNO telah menunjukkan komitmen dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar dengan meminimumkan konflik politik dengan mengutamakan agenda rakyat.

“UMNO menjunjung tinggi Titah Yang Di-Pertuan Agong dan setakat ini telah sebaik mungkin berpegang kepada janji untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi untuk manfaat rakyat dan mempunyai kerajaan mentadbir urus negara dan negeri yang stabil.

“Walaupun kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini adalah model kerajaan campuran yang telah banyak berlaku di negara-negara lain tetapi di negara ini ia adalah model yang baru berbanding dengan model Gabungan parti-parti seperti sebelum ini.

“UMNO/BN tidak bergabung dengan PH mahupun parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan tetapi hanya bekerjasama menubuhkan dan mentadbir urus Kerajaan. Setakat ini walaupun ada beberapa isu dan sentimen yang timbul, saya percaya dan yakin ia boleh diuruskan dengan baik oleh kepimpinan tertinggi UMNO/BN dengan kepimpinan parti-parti kerjasama yang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO