Persiapan PAU 2025 Rancak, Nanti Kehadiran Perwakilan
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan akan berlangsung pada 14 sehingga 17 Januari kini rancak dengan pelbagai persiapan untuk menyambut kedatangan para perwakilan.

Tinjauan UMNO Online pada Isnin menyaksikan seluruh kakitangan Ibu Pejabat UMNO Malaysia selaku urus setia bertungkus-lumus untuk menyediakan segala kelengkapan bagi melancarkan lagi perjalanan PAU pada tahun ini.
Di Bilik Melati Pusat Dagangan Dunia (WTC), para urus setia giat menyusun beg yang akan dibekalkan kepada para perwakilan sepanjang PAU. Terdapat pelbagai kelengkapan yang disertakan di dalam beg tersebut termasuklah alat tulis, buku nota, kalendar dan sebagai.
Ruang legar aras dua yang akan menempatkan 120 gerai jualan termasuk reruai pameran agensi-agensi kerajaan juga kelihatan meriah dengan pelbagai persiapan. Hari ini para peniaga mula memasukkan barang jualan mereka ke gerai masing-masing untuk operasi jualan dibuka esok.

Proses penambahbaikan dan penyempurnaan peringkat akhir di beberapa buah gerai juga giat dilaksana bagi memastikan para peniaga dapat meniagakan barang jualan mereka dengan selesa sepanjang PAU 2025.
Di ruang legar ini juga turut diserikan gegantung bendera pelbagai negeri, menyemarakkan lagi semangat perjuangan para perwakilan untuk datang sebagai lambang kebersamaan lantaran tidak pernah berhenti dalam menegakkan agama, bangsa dan tanah air.
Sementara di Dewan Merdeka, proses persiapan akhir juga rancak dijalankan sebelum raptai dalam dewan yang dijadual akan berlangsung pada Selasa dengan pintu gerbang berdiri gah di hadapan Dewan Merdeka, menanti kedatangan para perwakilan dari seluruh Malaysia.

Untuk rekod, raptai upacara menaikkan bendera telah diadakan pada Sabtu lalu yang turut disertai oleh kakitangan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan menjangkakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini berlangsung lebih meriah serta pengisian yang sarat dengan agenda penting demi masa depan UMNO.
Menurut beliau ia berdasarkan sambutan hangat daripada perwakilan, pengunjung yang menunjukkan keterujaan tinggi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
