“Pendidikan Asas Kejayaan Masa Depan” – Wan Rosdy
BENTONG, 12 Jan – Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkasa pendidikan anak negeri apabila Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bentong bagi menyampaikan set bantuan peralatan pembelajaran Program Tunas Makmur 2026 kepada 130 orang pelajar.
Menurut Wan Rosdy, usaha berterusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan.

“Pendidikan merupakan asas kepada kejayaan masa depan. Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan kebajikan dan keperluan persekolahan anak-anak Pahang diberi perhatian, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Ujarnya, Program Tunas Makmur yang dilaksanakan sejak tahun 2022 merupakan inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang, menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran lengkap dan berjenama bernilai RM100 termasuk beg sekolah, alat tulis serta kelengkapan pembelajaran. Pelajar sekolah menengah turut menerima kalkulator saintifik dan set geometri.
“Sebagai penambahbaikan tahun ini, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100, yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading.”
Wan Rosdy berkata, seramai 68,000 pelajar di seluruh negeri dijangka menerima manfaat program ini, melibatkan semua pelajar Tahun 1 serta pelajar miskin tegar dari Tahun 2 hingga Tingkatan 5, dengan siling peruntukan keseluruhan berjumlah RM14.8 juta.

“Inilah antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban ibu bapa dan memastikan keperluan asas persekolahan anak-anak dapat dipenuhi,” tambah beliau.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan Kad Diskaun 30 peratus kepada semua pelajar termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), serta guru dan pensyarah di seluruh Pahang. – UMNO Online
