Ketua Menteri Melaka Ucap Selamat Kembali Ke Sekolah Kepada Murid Tahun 2026
MELAKA, 12 Jan – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada seluruh murid kelahiran negeri Melaka sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2026 yang bermula hari ini.
Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, beliau menzahirkan harapan agar para pelajar memulakan tahun baharu persekolahan dengan semangat dan azam yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran serta kehidupan.

Menurut beliau, kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha berterusan, justeru para pelajar diseru agar rajin menimba ilmu, menghargai masa, mendengar nasihat guru serta ibu bapa, dan menanam tekad yang kuat untuk berjaya.
“Ilmu merupakan bekalan paling berharga dalam membina masa depan diri, keluarga dan negeri tercinta. Jadilah generasi berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia yang mampu membanggakan ibu bapa, mengharumkan nama Melaka serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ab Rauf turut menyatakan keyakinan bahawa dengan azam baharu tahun 2026, usaha yang berterusan serta doa yang tidak putus, para pelajar mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kehidupan seharian.
Beliau juga mendoakan agar segala urusan pembelajaran para pelajar dipermudahkan sepanjang sesi persekolahan yang baharu ini. – UMNO Online
