PRK Kinabatangan: Naim Tumpu Usaha Perkasa Belia, Pembangunan Pulau Tanjung Aru
KINABATANGAN, 11 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar menjadikan usaha memperkasakan golongan muda di Pulau Tanjung Aru antara tumpuannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.
Selain itu, pembangunan infrastruktur dan keperluan sosial setempat turut diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

“Aspek pembangunan di kampung ini akan saya berikan perhatian. Lokasi yang terdapat infrastruktur sudah usang dan memerlukan pembaharuan, termasuk pembinaan bangunan baharu seperti masjid, dewan serta kemudahan sukan seperti padang futsal, bola tampar dan lain-lain,” katanya.
Ketika ditemui pemberita selepas sesi perjumpaan bersama dengan penduduk Pulau Tanjung Aru, di sini hari ini, Mohd Kurniawan Naim, 32, berkata usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda turut menjadi keutamaannya.
“Ia bagi memastikan mereka tidak berhijrah ke bandar untuk mencari pendapatan yang lebih stabil,” katanya menambah potensi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Pulau Tanjung Aru juga perlu dimanfaatkan secara lebih strategik.
Usaha itu khususnya melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu golongan muda menceburi bidang keusahawanan.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu berkata, sokongan merangkumi latihan kemahiran, akses pembiayaan serta bimbingan perniagaan mampu membuka peluang pekerjaan baharu, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan yang lebih mampan kepada golongan belia.
“Di kampung ini, peluang pekerjaan agak terhad, namun inisiatif utama penduduk adalah dengan berniaga hasil tangkapan laut serta mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan.
“Inisiatif seperti TEKUN Nasional, khususnya melalui pinjaman mikro kepada pengusaha kecil penting bagi memastikan usaha yang mereka jalankan dapat berkembang dan menjana pendapatan melebihi paras gaji minimum semasa,” katanya.
Tambahnya, sekiranya diberi mandat, isu-isu berkaitan pembangunan, peluang pekerjaan serta kebajikan anak muda akan dibawa ke Parlimen bagi memastikan keperluan rakyat di Pulau Tanjung Aru diberi perhatian sewajarnya dan ditangani secara berkesan.
Pulau Tanjung Aru adalah kawasan perkampungan air yang terletak kira-kira tiga batu nautika (5.5 kilometer) dari bandar Sandakan, dengan sebahagian besar penduduk ialah nelayan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 23 Januari, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari dan pengundian awal 20 Januari. – BERNAMA
