PRK: Tiga Penjuru Di Kinabatangan, Satu Lawan Satu Di DUN Lamag
KINABATANGAN, 10 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan) serta seorang calon Bebas.
BN mempertaruhkan Mohd Naim Kurniawan Moktar, manakala Warisan menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman. Seorang lagi calon Bebas ialah Goldam Hamid.
Sementara itu, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN, Mohd Ismail Ayob, dan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Pengumuman calon-calon tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.
Terdahulu, lebih 1,000 penyokong serta pimpinan tertinggi UMNO dan BN mengiringi kedua-dua calon parti itu ke pusat penamaan calon dalam suasana penuh semangat, diiringi laungan slogan “Radu Tatap Radu, Radu Sampai Menang”.
Turut hadir mengiringi calon ialah Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Ketua Pemuda UMNO merangkap Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Akmal Saleh; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pimpinan parti peringkat negeri dan bahagian.
Sejak jam 7.30 pagi, penyokong dan pendokong parti berkumpul sebelum berarak ke Dewan Sri Lamag, dengan proses penamaan calon selesai kira-kira jam 11 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru. – UMNO Online
