PAU 2025: Suara Akar Umbi Tampilkan Aspirasi Dan Harapan – Fakhrul Akmal

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 kali ini menampilkan sifat terbuka yang memberi peluang kepada semua jurucakap untuk membahaskan usul dengan penuh ketertiban, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Muhamad Fakhrul Akmal Mohd.

Menurutnya, perhimpunan kali ini memberikan ruang luas kepada akar umbi untuk menyuarakan pandangan mereka, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang dijangka kurang daripada dua tahun lagi.

“Semua pembahas kali ini adalah bersifat terbuka, penuh ketertiban dan memberikan kebebasan kepada akar umbi parti menyuarakan rasa hati. PAU 2025 adalah satu wadah yang baik untuk perwakilan dan pembahas menyatakan apa yang akar umbi rasa memandangkan kurang dua tahun untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 16.

“Suara akar umbi yang dibawa oleh pembahas dapat didengar oleh pihak kepimpinan tertinggi. Kedapatan dari PAU ini akan menentukan hala tuju parti untuk PRU nanti. Ini adalah PAU yang amat penting bukan sahaja untuk ‘survival’ parti tapi untuk masa depan negara.

“Ini adalah medan terbaik untuk semua akar umbi menyampaikan aspirasi mereka, membina strategi serta mengukuhkan kedudukan parti di hati rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Fakhrul menyatakan bahawa Pemuda UMNO Negeri Pahang akan mengusulkan isu keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Pemuda UMNO Pahang akan mengusulkan mengenai keadilan untuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Kami memahami situasi yang berlaku sekarang terutamanya dalam kes beliau.

“Kami memohon, merayu dan meminta belas ikhsan daripada Yang diPertuan Agong (YDPA) agar mempertimbangkan apa saja permohonan daripada Najib Razak untuk mendapatkan hak-hak beliau sebagai seorang rakyat Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan PAU 2025 akan dihadiri seramai 6,412 orang perwakilan dari seluruh negara yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, bermula 14 hingga 17 Januari ini.

Sebanyak 662 usul diterima antaranya membabitkan konteks politik, agama, pendidikan dan ekonomi. Ini termasuklah perwakilan PAU 2,928 orang, PAU Wanita 1,165 orang, PAU Pemuda UMNO 1,173 orang dan PAU Pergerakan Puteri UMNO 1,146 orang.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO