Jangan Jadi Batu Api Dalam Parti, Perkukuh UMNO Dari Dalam – Zawawi

KOTA BHARU , 10 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman, mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak menjadi “batu api” atau bahan permainan mana-mana tokoh politik yang hanya mengejar populariti, khususnya pada usia lanjut yang seharusnya diisi dengan kebijaksanaan dan ketenangan.

Menurut beliau, ahli UMNO perlu berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti dan tidak terpengaruh dengan provokasi serta percubaan menjadikan mereka sebagai bahan ujikaji politik oleh pihak tertentu.

“Ahli UMNO jangan jadi bahan permainan dan ujikaji oleh kebanyakan tokoh politik yang hanya mahukan populariti. Janganlah di usia senja ini kita menjadi batu api kepada parti sendiri,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Zawawi turut menegaskan bahawa dalam menghadapi sebarang ujian atau kemelut, umat Islam diajar untuk kembali kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa, khususnya selepas solat fardu serta menunaikan solat hajat.

“Kita memohon kepada Allah SWT dan pada masa yang sama meminta kepada pihak yang berkuasa, iaitu Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Dengan Allah SWT kita diajar untuk sentiasa berdoa, dan dengan Tuanku Agong kita menyatakan isi hati kerana kuasa pengampunan tertakluk kepada budi bicara Tuanku,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil kesempatan mencetuskan ketegangan atau kekeliruan dalam kalangan ahli parti.

Mengulas mengenai individu yang pernah meninggalkan UMNO dan kemudian kembali menyertai parti selepas “lompatan politik”, termasuk pernah bersama Dap, Datuk Zawawi menasihatkan supaya mereka bersikap lebih berhemah.

“Dah masuk kembali sebagai ahli UMNO selepas lompatan saujana, malah pernah menjadi ahli Dap suatu ketika dahulu, maka duduklah diam-diam. Berkatalah untuk kebaikan parti dan jangan jadi duri dalam daging,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa UMNO kekal sebagai satu-satunya parti politik yang secara jelas dan konsisten mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu melalui peruntukan dalam Perlembagaan parti.

“Hanya UMNO sahaja yang mempertahankan Raja-Raja Melayu dalam perlembagaannya. Ini bukan slogan, tetapi prinsip perjuangan yang telah lama menjadi tunjang parti,” katanya lagi.

Zawawi berharap semua ahli UMNO, khususnya pemimpin dan tokoh veteran, dapat mengutamakan perpaduan parti, menjaga adab perjuangan dan mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh melemahkan UMNO dari dalam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO