Jafry Sedia Bimbing Calon BN Parlimen Kinabatangan Dan DUN Lamag

KINABATANGAN, 10 Jan — Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyatakan kesediaannya untuk terus membimbing calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, dan calon BN DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob, agar mereka dapat memimpin dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan perjuangan untuk rakyat.

Sebagai pemimpin senior, beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan generasi muda BN di Sabah mendapat tunjuk ajar, panduan dan bimbingan yang sewajarnya bagi meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

“Insya Allah saya  akan pastikan mereka mendapat bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan untuk mereka berkhidmat sebaiknya untuk Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag sekiranya diberikan peluang pada 24 Januari  nanti.

“Kita mahu memastikan pembangunan, keadilan dan kesejahteraan rakyat terus kita jayakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Command Centre Kinabatangan hari ini.

Jafry turut menzahirkan keyakinan bahawa kedua-dua calon muda berkenaan mampu membawa suara rakyat dan mengangkat agenda pembangunan di kawasan masing-masing sekiranya diberi mandat oleh pengundi.

“Mereka ini anak muda yang berjiwa besar, dekat dengan rakyat dan memahami keperluan masyarakat setempat. Saya yakin dengan semangat dan bimbingan yang betul, mereka mampu menjadi pemimpin berkesan untuk Kinabatangan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedua-dua calon serta memastikan gerak kerja kempen berjalan dengan tersusun dan berstrategi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Mohd Naim Kurniawan Moktar, Mohd Ismail Ayob serta pimpinan UMNO, BN Sabah yang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO