UMNO Sabah Susun Gerak Kerja Hadapi PRK Kinabatangan, DUN Lamag
KINABATANGAN, 9 Jan – UMNO Sabah mula menyusun gerak kerja secara terancang bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag melalui pertemuan awal bersama jentera UMNO Bahagian Kinabatangan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop, berkata tumpuan utama perbincangan adalah memperkemas strategi gerak kerja parti serta memastikan setiap lapisan jentera, dari peringkat bahagian hingga akar umbi, bergerak seiring dan selaras.
Menurut beliau, penyelarasan ini penting bagi memastikan semua jentera memahami peranan masing-masing serta dapat melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan sepanjang tempoh kempen.

“Fokus kita jelas iaitu menyusun gerak kerja, memperkemas strategi dan memastikan setiap lapisan bergerak seiring,” katanya.
Beliau menambah, perbincangan tersebut menjadi asas penting dalam membina kekuatan parti serta momentum positif menjelang PRK di kedua-dua kerusi berkenaan.
“Insya-Allah perbincangan ini menjadi asas kepada kemenangan di kedua-dua kerusi ini,” katanya lagi.
Barisan Nasional (BN), menamakan Naim Kurniawan, sebagai calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, diumumkan sebagai calon di DUN Lamag.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi PRK dengan hari penamaan calon pada 10 Januari manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK ini diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu. – UMNO Online
