Jeffery Nor Ziarah Mangsa Kebakaran Kampung Ketiau, Putatan
PUTATAN, 9 Jan – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Jeffery Nor Mohamed menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Ketiau, Putatan dalam satu lawatan ziarah yang diadakan semalam.
Beliau berkata, pertemuan tersebut amat menyentuh perasaan kerana penderitaan yang ditanggung oleh para mangsa, sambil menyifatkan situasi itu sebagai ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Dalam lawatan berkenaan, Jeffery Nor bersama rombongan GiatMARA Negeri Sabah yang diketuai oleh Pengarahnya,Ts. Azizudin A.Aziz, telah menyampaikan sumbangan serta bakul makanan kepada semua mangsa kebakaran sebagai tanda sokongan dan bantuan awal.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak GiatMARA Sabah atas kesudian hadir bersama dalam menjayakan program ziarah tersebut, serta mengucapkan terima kasih kepada Nenek Salim yang mengatur pertemuan berkenaan.
Selain itu, rombongan turut melawat sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang sedang dalam pembinaan di kawasan terjejas kebakaran. Menurut beliau, rumah tersebut dijangka siap dalam masa terdekat dan boleh diduduki oleh keluarga terlibat.

“Insya-Allah, semoga rumah ini dapat memberi keselesaan dan sinar baharu kepada keluarga berkenaan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa terus tabah menghadapi dugaan serta yakin bahawa Allah SWT akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
“Semoga kita semua terus mendoakan yang terbaik buat mereka,” tambahnya lagi. – UMNO Online
