Rais Seru Politik Matang, Fokus Khidmat Rakyat
MELAKA, 8 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menegaskan semua pihak perlu bersikap matang serta menumpukan perhatian kepada khidmat rakyat susulan polemik yang timbul di media sosial berkaitan kestabilan politik negara.
Beliau yang juga dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka menegaskan, Konvensyen Pemuda yang dianjurkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh wajar dilihat secara adil.
Rais menegaskan beliau sentiasa menyokong perjuangan dan suara kebenaran Pemuda UMNO, tanpa menafikan disiplin dan keputusan parti.
“Hala tuju UMNO tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi parti. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan dan tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya.
Rais turut menegaskan, pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman parti lain atau membangkitkan isu sensitif yang boleh mengganggu kestabilan negara.
“Pesanan ikhlas saya, teruskan buat kerja dan fokus kepada khidmat rakyat. Jangan ganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan dengan polemik yang tidak memberi manfaat,” katanya.
Beliau mengingatkan, kurang daripada setahun lagi rakyat Melaka akan menilai pemimpin yang benar-benar bekerja semasa Pilihan Raya Negeri, kerana rakyat adalah pengadil akhir terhadap keaslian khidmat pemimpin politik.
“Jalan terus. Berkhidmat dan berbudi, itu prinsip saya,” tegas Rais. – UMNO Online
